Nahas helikopter Leicester City: Juruterbang 'tidak tahu apa yang berlaku'


Pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha antara yang terbunuh apabila helikopter dinaikinya terhempas. – Gambar AFP, 6 September, 2023.

JURUTERBANG helikopter yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan pemilik kelab Leicester City berkata: “Saya tidak tahu apa yang berlaku” ketika pesawat itu semakin hilang kawalan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Eric Swaffer, 53, membuat komen itu beberapa saat sebelum helikopter tersebut terhempas ke tanah di luar Stadium King Power pada 27 Oktober 2018, menurut laporan Jabatan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, pekerja Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare, Swaffer dan pasangannya, Izabela Roza Lechowicz - juga seorang juruterbang profesional - semuanya terbunuh dalam kemalangan yang berlaku sejurus selepas helikopter itu berlepas dari padang.

Helikopter Leonardo AW169 mencapai ketinggian kira-kira 130 meter sebelum jatuh ke tanah.

Pedal juruterbang terputus dari rotor ekor, kata penyiasat.

Ini mengakibatkan pesawat membuat pusingan ke kanan yang tajam dan “mustahil” untuk dikendalikan.

AAIB menyifatkannya sebagai “kegagalan mengejut” menyebabkan helikopter berpusing dengan cepat kira-kira lima kali.

Ketika helikopter itu kehilangan kawalan, terdengar jeritan: “Hey, hey, hey!” datang dari ruang kabin belakang, di mana Vichai dan pekerjanya duduk, kata AAIB.

Swaffer yang merupakan seorang juruterbang amat berpengalaman memberi respons dengan berkata: “Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku” dan “mengeluarkan seruan”, menurut laporan tersebut.

Beliau “melakukan tindakan yang paling sesuai” termasuk menaikkan tuas untuk mengurangkan sudut lapangan helikopter dan “mengurangkan kesan hentaman”, kata AAIB.

Pesawat itu mendarat pada anak tangga konkrit berhenti di sisi kirinya.

Empat daripada lima penumpang terselamat daripada impak awal tetapi tiada seorang pun terselamat kerana helikopter itu terbakar dalam masa seminit berikutan kebocoran bahan bakar yang besar.

Kemalangan itu berlaku kira-kira sejam selepas perlawanan Liga Perdana antara Leicester City dan West Ham United.

Siasatan AAIB mendapati sistem kawalan gagal kerana galas pada rotor ekor pecah disebabkan bebola seramiknya menggelongsor dan bukannya bergolek disebabkan peningkatan tekanan.

Pemeriksaan galas hanya diperlukan setelah digunakan selama 400 jam tetapi helikopter itu hanya diterbangkan selama 331 jam ketika kemalangan tersebut berlaku.

Salah satu “faktor penyumbang” bagi kemalangan itu juga adalah peraturan tidak memerlukan pemeriksaan penyelenggaraan untuk menyemak keadaan galas terpakai berbanding dengan reka bentuk asalnya, kata AAIB.

Laporan setebal 209 muka surat itu menolak penglibatan dron dan kesilapan juruterbang. – Bernama, 6 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen