POLIS mencadangkan supaya Presiden PAS Abdul Hadi Awang dituduh di bawah Akta Hasutan atas komen yang dibuatnya mengenai kuasa Lembaga Pengampunan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayob memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa perkara itu akan dicadangkan kepada Jabatan Peguam Negara sebaik kertas siasatan lengkap.
“Tugas polis adalah untuk menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan.
“Kami akan mengemukakan kertas siasatan kepada AGC dengan cadangan untuk mendakwa (Hadi) mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Ayob menjawab soalan sama ada Hadi akan didakwa atas ucapan itu.
Presiden PAS telah merakam kenyataannya awal pagi ini berhubung ulasan yang dibuatnya mengenai kuasa Lembaga Pengampunan.
Ayob berkata, Hadi bagaimanapun hanya menjawab lima daripada 24 soalan yang dikemukakan penyiasat ketika bertemu di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
“Dia berkata soalan selebihnya dimaklumkan akan dijawab di mahkamah nanti,” tambah Ayob.
Ahli Parlimen Marang itu didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ucapannya di Bakri, Muar pada 26 Ogos lalu.
Sementara itu setiausaha politik Abdul Hadi Mohd Syahir Che Sulaiman berkata rakaman kenyataan itu mengambil masa kira-kira sejam.
“Tok Guru (Hadi) memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat. Beliau menjawab semua soalan,” katanya kepada pemberita yang berkumpul di ibu pejabat parti mulai jam 9 pagi.
Mohd Syahir juga berkata seorang peguam hadir ketika kenyataan itu dirakamkan.
Beliau berkata presiden PAS juga akan menghulurkan kerjasama penuh sekiranya perlu merekodkan lebih banyak kenyataan. – 4 September, 2023.
Komen