PERTUDUHAN ke atas Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di bawah Akta Hasutan 1948 jelas menunjukkan Pakatan Harapan (PH) ‘cakap tidak serupa bikin’ mengenai undang-undang yang pernah ditentang oleh gabungan itu sebelum ini, kata kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).
Pengarahnya Zaid Malek berkata pendakwaan ke atas Sanusi hari ini adalah “hari hitam bagi negara” ketika di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Hari ini adalah hari hitam bagi negara. Akta Hasutan muncul sekali lagi, kali ini digunakan terhadap saingan politik kerajaan yang kini mentadbir persekutuan.
“Amat mengejutkan perkara ini berlaku di bawah kerajaan pimpinan PH, yang sekian lama ketika menjadi pembangkang mengutuk dan menyifatkan kewujudan dan penggunaan Akta Hasutan sebagai menindas dan menghina kebebasan bersuara.
“Kecaman PH dan pemimpinnya Anwar Ibrahim terhadap undang-undang ini nampaknya hanya terpakai apabila tindakan dikenakan ke atas mereka. Kini, mereka tidak ragu-ragu menggunakannya apabila mereka berkuasa,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau seterusnya menggesa kerajaan menggantung tindakan di bawah Akta Hasutan sementera menunggu pemansuhan pada sidang Parlimen akan datang.
“Kami seterusnya menggesa peguam negara untuk menarik balik tuduhan hasutan terhadap Sanusi.”
Sanusi hari ini mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan hasutan di Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini.
Bagi tuduhan pertama, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional dituduh membuat kenyataan hasutan ke atas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tuduhan itu berkait ucapannya mengenai pelantikan menteri besar Selangor dalam satu ucapan di Simpang Empat, Taman Selayang Mutiara di Gombak pada 11 Julai.
Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
Bagi tuduhan kedua, Saunsi dituduh membuat kenyataan hasutan berkait pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Sanusi dalam ucapan pada 11 Julai itu antara lain menyebut Sultan Selangor memilih menteri besar yang “cokia”.
Ekoran itu, puluhan laporan polis dibuat ke atas penyandang kerusi DUN Jenteri itu, yang seterusnya memohon ampun dengan menulis surat kepada Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin bagaimanapun semalam menitahkan perkara itu belum selesai.
Sanusi seterusnya ditahan polis pada dinihari di Lembah Kelang.
Satu video yang dimuatkan setiausaha politiknya Helmi Khalid di Facebook menunjukkan Sanusi dikutip di sebuah hotel pada kira-kira jam 2.30 pagi. – 18 Julai 2023.
Komen