Keterpendaman Melayu berterusan dalam pilihan raya


Ruhan Shahrir

PADA 12 Mac 2019, kira-kira empat tahun yang lalu saya menukilkan beberapa siri tulisan mengenai “Keterpendaman Melayu” sebanyak lima bahagian di portal The Malaysian Insight.

Tulisan itu kemudiannya dijadikan salah satu pembentangan di sebuah bengkel “Keterpendaman Melayu” di Universiti Kebangsaan Malaysia dan diperhalusi lagi penulisannya serta diterbitkan dalam bentuk rencana penuh di portal “zine” Kawah Buku dengan judul yang sama.

Empat tahun yang lalu, tulisan mengenai “Keterpendaman Melayu” ditulis dalam rangka untuk memahami siri kekalahan calon daripada parti yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut menggabungkan Bersatu pada waktu itu.

PRK 2019

Beberapa siri kekalahan calon kerajaan PH di pilihan raya kecil (PRK) itu bermula di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan berakhir di Tanjung Piai.

Ia memperlihatkan bagaimana calon parti yang tergabung dalam kerajaan PH tewas walaupun pada waktu itu mereka menjadi kerajaan Persekutuan.

Bersaing di kawasan majoriti Melayu pada PRK 2019, ternyata kelebihan sebagai kerajaan Persekutuan gagal memberi kemenangan kepada PH.

Malahan di PRK Tanjung Piai, calon kerajaan PH dari Bersatu, Karmaine Sardini tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng dari MCA dengan majoriti lebih daripada 15,000 undi.

Kekalahan Bersatu di Tanjung Piai dengan majoriti yang cukup besar menjadi dorongan kepada Muhyiddin Yassin untuk mula memikirkan kewajaran sama ada partinya patut berada dalam kerajaan PH ataupun tidak.

Manakala calon BN pula yang pada waktu itu memeterai persefahaman Muafakat Nasional bersama PAS menang dengan jumlah majoriti yang meyakinkan dalam beberapa siri PRK 2019, sungguhpun mereka berada di blok pembangkang.

Kurang tiga bulan selepas PRK Tanjung Piai, “keterpendaman Melayu” diserlahkan menerusi Langkah Sheraton yang mendorong Bersatu bertindak keluar daripada kerajaan Persekutuan dan Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Tindakan itu akhirnya menumbangkan PH hanya selepas 22 bulan mentadbir di Putrajaya.

PRN enam negeri 2023

Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini pada hemat saya juga suatu bentuk kesinambungan dan penerusan kepada “keterpendaman Melayu”.

Ia dizahirkan menerusi pola pengundian masyarakat Melayu yang majoritinya cenderung memberikan sokongan mereka kepada parti berteraskan Melayu yang tergabung dalam Perikatan Nasional (PN).

PN menyapu bersih di Terengganu tanpa meninggalkan sebarang sisa. Di Kelantan pula hanya dua kerusi sahaja yang ditinggalkan buat PH-BN.

Manakala di Kedah, PN khususnya PAS cemerlang dengan berjaya merebut 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dengan kata lain, di tiga negeri jantung Melayu itu, PN hampir menyapu bersih semua kerusi yang dipertandingkan.

Manakala di negeri yang demografi pengundinya bersifat campuran, yakni di Pulau Pinang (baca: Seberang Perai) dan Selangor, sama ada di kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi Melayu bermajoriti dominan atau bermajoriti lemah, PN secara relatifnya berjaya menembusi dua negeri tersebut dengan memenangi jumlah kerusi yang signifikan, yakni 11 kerusi di Pulau Pinang dan 22 kerusi di Selangor.

Tiga DUN yang membentuk Parlimen Permatang Pauh, yang dahulunya merupakan kubu kuat buat keluarga perdana menteri sebelum PRU15, kini ketiga-tiganya berjaya dirampas oleh PN. Begitu juga di Selangor hampir semua DUN yang membentuk Selangor Utara turut dimenangi oleh PN.

Walaupun di Selangor terjadi kontroversi ucapan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor, tetap sahaja PN berjaya merebut 22 kerusi dan seterusnya menafikan majoriti dua pertiga DUN Selangor yang dimenangi oleh PH pada PRN sebelumnya.

Hanya di Negeri Sembilan, gelombang PN “tersekat” apabila ia berjaya memenangi lima kerusi daripada 36 yang dipertandingkan.

Namun begitu terdapat 10 kerusi DUN Negeri Sembilan yang PN tewas hanya dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan Negeri Sembilan turut terkena tempias gelombang PN tetapi tidak cukup kuat untuk meraih kemenangan kerusi yang signifikan.

Tidak berlebihan juga untuk dirumuskan keputusan PRN di enam negeri baru-baru ini juga suatu bentuk gelombang pengundi Melayu yang majoritinya memilih PN sebagai wadah politik pilihan mereka.

Beberapa sarjana menganggarkan sokongan pengundi Melayu kepada PN adalah sekitar 70%, manakala PH-BN hanya menerima sekitar 30% sahaja sokongan daripada pengundi Melayu untuk keseluruhan undi yang diterima di enam negeri tersebut.

Justeru, “keterpendaman Melayu” sejak PRK 2019 sehinggalah PRN enam negeri pada 2023 yang baru lalu kelihatannya berterusan.

Cuma pemain politiknya sahaja yang bertukar tempat.

Jika pada PRK 2019, Umno berada bersama PAS di blok pembangkang dan Bersatu pula bersama PH di blok kerajaan, kini di PRN enam negeri, Umno pula yang bersama PH di blok kerajaan, manakala Bersatu di blok pembangkang bersama PAS.

Terdapat dua pertalian yang sama dalam kedua-dua PRK 2019 dan PRN enam negeri yang baru berlalu itu yang menzahirkan “keterpendaman Melayu”. Pertamanya, unsur PAS. Keduanya, unsur DAP.

Pertalian dengan PAS

PAS ketika berada dalam wadah Muafakat Nasional bersama Umno mendorong penyokongnya untuk mengalihkan undi mereka kepada Umno-BN pada siri PRK 2019 yang menyaksikan Umno-BN menang di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

Kini, di PRN enam negeri, PAS memainkan peranan penting dalam membantu PN untuk menyapu bersih hampir semua kerusi DUN di negeri jantung Melayu (Terengganu, Kelantan, Kedah) dan berjaya pula menembusi kubu kuat PH di Seberang Perai dan memperoleh jumlah kerusi yang signifikan di Selangor serta membantu PN memperoleh lima kerusi di Negeri Sembilan.

Dalam konteks ini, PAS yang memperjuangkan salah satu unsur penting yang terkandung dalam cita-cita nasionalisme Melayu menjadi pendukung utama yang membantu Umno-BN dalam kemenangan mereka di PRK 2019 dan penggerak utama yang membolehkan PN meraih jumlah kerusi yang signifikan di PRN enam negeri yang baru lepas.

Malahan PAS dengan kekuatan akar umbinya yang mapan, jenteranya yang tersusun dan retorik agama serta etnik yang dimainkannya baik di pentas ceramah mahupun di platform media sosial, mencatat kemenangan besar untuk dirinya sendiri apabila memenangi 105 kerusi atau 83% daripada 127 kerusi yang ditandinginya di enam negeri itu.

“Tsunami hijau PAS” pada PRU15 nampaknya berterusan hingga ke PRN 2023.

Meskipun begitu, unsur PAS semata-mata tidak akan memungkinkan untuk PN memperbanyakkan perolehan kerusi pada PRN enam negeri itu jika tidak kerana unsur kedua, yakni DAP.

Pertalian dengan DAP

Jika PAS menjadi unsur yang memenangkan parti Melayu yang bersamanya – memenangkan Umno pada siri PRK 2019 dan memenangkan pula Bersatu pada PRN enam negeri baru-baru ini, DAP pula kelihatan seperti berperanan sebaliknya.

Ketika Bersatu bersama PH yang tergabung di dalamnya DAP, calon-calonnya di PRK Semenyih dan Tanjung Piai tewas.

Walaupun pada PRN ke-14 (2018), calon Bersatu menang di DUN Semenyih dengan majoriti hampir 10,000, namun pada PRK 2019, Bersatu tewas.

Begitu juga di PRK Tanjung Piai, calon Bersatu tewas dengan majoriti lebih 15,000 walaupun pada PRU 2018, Bersatu menang di kawasan tersebut.

DAP dalam konteks ini menjadi beban kepada mana-mana parti Melayu yang bersamanya.

Ia membebankan Bersatu sehingga membawa kekalahan kepada calonnya di PRK 2019 dan kini ia menjadi beban pula kepada Umno pada PRN enam negeri yang lalu apabila dianggarkan terdapat antara 27%-58% pengundi Umno mengalihkan undi mereka kepada PN, menurut kajian Ilham Centre.

Alasan kepada peralihan undi itu ada bermacam-macam daripada penolakan akar umbi Umno terhadap kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sehinggalah kepada ketidakpuasan hati mereka dengan kerjasama antara Umno dan PH yang di dalamnya ada DAP.

Justeru, tidaklah keterlaluan untuk dikatakan faktor DAP turut menyumbang kepada peralihan undi tersebut.

Sungguhpun begitu, seperti mana PAS yang menang besar untuk dirinya sendiri, DAP juga turut menang 46 kerusi daripada 47 DUN yang ditandinginya pada PRN enam negeri.

DAP penghalang cita-cita nasionalisme Melayu

Jika PAS mewakili salah satu daripada unsur cita-cita nasionalisme Melayu yang berteraskan Islam, DAP pula mewakili cita-cita “Malaysian Malaysia” yang sekular.

Dua kutub ideologi yang bertentangan. Apatah lagi apabila DAP sering ditonjolkan sebagai parti dominasi Cina yang mempunyai kerusi Parlimen terbesar dalam gabungan PH.

Melihat dari sudut itu, mudah buat khalayak pengundi Melayu untuk menganggap DAP sebagai penghalang kepada salah satu cita-cita nasionalisme Melayu yang penting, yakni Malaysia yang beridentitikan Melayu dan Islam.

Justeru, keberadaan DAP di Putrajaya, pusat pembuat dasar penting negara, dikira sebagai berpotensi mengancam kuasa politik Melayu untuk merealisasikan cita-cita nasionalisme Melayu.

Keterancaman itu tidak semestinya benar tetapi sudah cukup jika ia dirasakan benar oleh sebahagian daripada pengundi Melayu.

Apatah lagi dalam konteks struktur masyarakat Malaysia yang kehidupan komuniti masing-masing cenderung terpisah mengikut etnik, agama dan bahasa, maka rasa keterancaman itu mudah untuk diselit masuk ke dalam hati dan perasaan menerusi retorik politik etnik dan agama yang membolehkan “keterpendaman Melayu” terus hidup dan dizahirkan hingga ke PRN 2023 di enam negeri yang lepas.

PRK Pulai dan Simpang Jeram

Bagaimana pula dengan PRK Pulai dan Simpang Jeram nanti?

Memandangkan kawasan Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berdemografi campuran dengan komposisi pengundi Melayu bermajoriti lemah, manakala jumlah peratusan pengundi bukan Melayu agak signifikan tinggi, maka besar kemungkinan gelombang PN akan terhalang.

Namun “keterpendaman Melayu” tetap tidak padam.

Selagi kuasa politik Melayu yang dianggap kunci kepada cita-cita nasionalisme Melayu dirasakan terancam, manakala stereotaip dan prejudis terhadap DAP masih lagi tebal, maka selagi itulah “keterpendaman Melayu” akan berterusan.

Hatta sehingga ke PRU16 sekalipun. – 1 September, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen