Pasca-PRN: Politik kita makin terbelah


Mohd Azizi Jaeh

Politik Malaysia dalam situasi terpecah dan tergaris mengikut kaum dan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos 2023.

PILIHAN raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu menandakan yang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah lengkap disempurnakan. Keadaan tersebut menjadikan PRU15 pilihan raya paling panjang dalam sejarah politik Malaysia – bermula 10 Oktober 2022 hingga 12 Ogos 2023.

Seperti yang dijangka, keputusan PRN menunjukkan gelombang hijau masih berterusan, makin membesar dan menghempas beberapa lagi negeri. Selangor antara pangkalan terkuat Pakatan Harapan (PH) yang terkena pukulan sehingga gagal mempertahankan majoriti dua pertiga selepas 15 tahun.

Tidak ada gabungan boleh diisytiharkan selaku pemenang mutlak. Masing-masing mengekalkan status quo dan kedudukan 3-3. PH dan Barisan Nasional (BN) disifatkan menang dalam kepedihan berikutan kehilangan banyak kerusi negeri (DUN).

Perikatan Nasional (PN) pula menang dalam kehampaan kerana meskipun mencapai kemenangan luar biasa di 3 negeri (Terengganu, Kelantan dan Kedah), impian menakluki Selangor dan Negeri Sembilan tidak kesampaian.

Ada beberapa pemaknaan penting bila menyentuh impak pengundian PRN. Keputusan PRN bukanlah suatu memeranjatkan kerana telah diramalkan sejak awal. Ia hanya lanjutan dari keputusan PRU15. Cuma, trend, fenomena dan pemberat lebih jelas terhadap pembawaan politik identiti.

Yang jelas persaingan dalam bentuk kesedaran melibatkan dua identiti dan budaya politik berbeza semakin menyerlah. Satu mewakili kesedaran orang Melayu, satu lagi mewakili kesedaran kelompok bukan Melayu.

DAP yang memenangi hampir kesemua kerusi ditandinginya mewakili kelompok bukan Melayu telah lama membentuk bulatan kesatuan atau lingkaran untuk menyokong PH secara keseluruhan –sejak PRU12 lagi.

Manakala masyarakat Melayu di negeri lingkaran Melayu sejak PRU15 dan PRN kali ini telah berjaya menggembleng kesedaran yang tinggi untuk menjadikan PN sebagai satu-satunya pilihan politik untuk orang Melayu.

Jika dipecahkan mengikut bilangan kerusi Melayu dan bukan Melayu, PN menguasai sebahagian besar kerusi Melayu di Pantai Timur dan Kedah, sementara DAP hampir mengungguli kerusi bukan Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kesan daripada ini melahirkan semacam bentuk polarisasi. Politik Malaysia dalam situasi terpecah dan tergaris mengikut kaum dan parti. Jika tidak ditangani, polarisasi politik ini akan kekal sebagai satu norma.

Lebih memburukkan keadaan, perang budaya dan persepsi negatif semakin meluas apabila dikatakan parti Melayu lawan parti Cina – sesuatu yang harus dihindarkan.

Lagi pula, fenomena ini boleh menimbulkan keterasingan yang tidak menggambarkan ciri keindukan dan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Pengundi akan terlalu cenderung memilih berdasarkan simbol dan sentimen kaum, bukan lagi atas semangat atau kepercayaan demokrasi merentas parti.

Polarisasi merujuk kepada situasi yang dikuasai oleh dua pakatan politik yang kelihatan ekstrem, seperti dua kutub kuasa yang saling menolak dan saling bertentangan.

Dalam konteks politik pilihan raya di Malaysia, dua parti terkuat dalam setiap gabungan (PH-DAP) dan (PN-PAS) akan memaparkan pertentangan identiti yang semakin tajam.

Politik identiti seperti yang dihujahkan oleh saintis politik Francis Fukuyama, dalam jelmaan sebenaranya tidak lain merupakan sejenis politik penegasan dan pengukuhan identiti kelompok, kaum dan agama yang mengandungi semangat menolak orang lain dan tidak bertolak ansur terhadap perbezaan kepelbagaian.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan ketajaman inilah yang melahirkan penguasaan penuh di negeri dan sesetengah kerusi itu terlalu didominasi oleh satu parti.

Umpamanya penguasaan penuh DAP di Pulau Pinang bagi kawasan bukan Melayu terus memaparkan kelemahan parti Gerakan sebagai alternatif untuk memikat kaum Cina.  

Di satu pihak pula, PAS memainkan peranan besar menjadikan Terengganu sebagai satu lagi negeri Kelantan dalam PRN kali ini – sama situasinya pada 1990 apabila Kelantan mengalami sifar pembangkang. Bahkan badi kekalahan Umno di Kelantan masih berterusan.

Gelombang hijau yang terpancut sebenarnya tidak mampu dibendung. Bukan setakat mengukuhkan identiti PAS, tetapi membentuk suatu ideologi, naratif dan nilai-nilai tradisi yang diterima sebahagian besar pengundi Melayu konservatif.

Secara tidak langsung, PAS mengambil posisi selaku penghulu baru politik Melayu menggantikan Umno. Namun situasi tampak berat sebelah apabila PAS menempatkan identitinya sebagai parti Melayu berhaluan kanan yang mempunyai bilangan sokongan kaum bukan Melayu terlalu rendah.

Gerakan sebagai rakan sekutu PAS masih gagal membantu PN menonjolkan imejnya untuk semua kaum sepertimana era kegemilangan BN dahulu.

Namun atas nama penyatuan Melayu-Islam yang tampak memihak mereka sekarang, tiada satu kuasa sakti yang lain dapat menandinginya ketika ini. Fenomena politik identiti bukan hanya sedang berlaku di Malaysia, malah sedang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat.  

Kesan kebanngkitan PN pada satu segi telah membentuk identifikasi dan koridor politik untuk orang Melayu berlindung. Bayangkan peningkatan sokongan Melayu terhadap PN dianggarkan 65% hingga 75% dalam PRN kali ini menurut pengkaji politik. Berbeza keadaannya dengan PH yang dilihat terlalu bergantung dengan 90% lebih undi bukan Melayu.

Kegagalan Umno mendapatkan tapak sokongan Melayu juga telah membantutkan usaha mengukuhkan kerjasamanya dengan PH dalam membentuk kepemimpinan Melayu berteraskan kemajmukan, sekali gus menggambarkan realiti demografi Malaysia.

Kedua-dua gabungan politik sebenarnya sangat bermasalah, baik bagi PH-BN atau PN. Satu pihak hampir total didukung orang Melayu, manakala satu pihak pula hampir total disokong bukan Melayu. Kedua-dua fenomena menampakkan jurang jauh dan pola tidak sekata.

Tanpa gerakan yang berwibawa untuk menarik sokongan semua kaum, amat sukar untuk mengendalikan perbezaan tebal politik yang berlandaskan identiti.

Begitu pun jika diberikan pilihan, setidak-tidaknya PH-BN lebih kurang mudarat kerana bentuk permuafakatan mereka mewakili semua kelompok di Malaysia, berbanding PN yang terlalu berat sebelah untuk satu kaum.

Untuk memastikan keberlangsungan PH-BN, ia perlu berjalan mengikut jajaran perpaduan dalam meningkatkan konstituensi Melayu yang signifikan. Ini sangat besar cabarannya. – 22 Ogos, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen