‘Samudra Manthana’ dan racun politik Malaysia


Izmil Amri

Hasil kajian Ilham Centre merumuskan gelombang sokongan untuk PN sejak PRU15 masih belum reda, dengan kadar hakisan sokongan pengundi Melayu terhadap Umno semakin menjadi-jadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2023.

PADA suatu hari beberapa bulan lalu, saya duduk bersembang bersama pemimpin veteran DAP yang mendakwa dirinya sudah bersara.

Lim Kit Siang semestinya belum bersara total. Malah mustahil untuk individu sedemikian sebati dengan politik Malaysia senang-senang memisahkan diri dengan pergulatan politik tanah air. 

Sambil merenung jauh, Kit Siang menegaskan cabaran kerajaan perpaduan ini dalam mendepani enam pilihan raya negeri (PRN) tempoh hari, ialah untuk memastikan kestabilan kedudukan Anwar Ibrahim sehingga habis penggal.

Dan menurut beliau lagi, untuk memastikan kelangsungan kestabilan itu, Umno mesti berubah. Bukan sahaja berubah, ia perlu dibantu untuk berubah. Optimis betul dia, seperti biasa.

Kit Siang adalah satu-satunya individu, bagi saya, yang komited dengan kepercayaannya terhadap kebolehan seseorang individu atau organisasi untuk berubah sekiranya diberi peluang dan bantuan. 

Demikian maka kita menyaksikan bagaimana Kit Siang dan seterunya zaman berzaman, Dr Mahathir Mohamad boleh akhirnya sepakat duduk semeja demi misi besar menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi mantan perdana menteri Najib Razak.

Hasil permuafakatan itu, Najib kini sudah genap setahun sedang mendiam di penjara.

Najib mencatat sejarah sebagai mantan perdana menteri pertama yang diheret ke mahkamah dan kemudian didapati bersalah lalu dihukum penjara.

Optimisme Kit Siang ternyata membuahkan hasil, walaupun hanya seketika cuma. 

Dr Mahathir sudahnya kini kembali kepada fitrah politiknya.

Sambil bertindak melupakan agenda “Bangsa Malaysia” yang diletakkan pada nombor wahid dalam senarai cabaran Wawasan 2020, Dr Mahathir malah bertindak bersekongkol dengan PAS dan sehingga satu peringkat, parti lamanya, Bersatu. 

Hatta, DAP pun kembali dijadikan senjata bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Padahal hakikatnya, Dr Mahathir sendiri menjadi perdana menteri buat kali kedua dengan berbekalkan sokongan 42 ahli Parlimen DAP.

Enam daripadanya dilantik menganggotai Kabinet beliau ketika itu, dan tujuh lagi dilantik menjadi timbalan menteri.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 ternyata merungkai kekusutan berdekad lama.

Ia membawa demokrasi Malaysia ke tahap normal, di mana perubahan kuasa dibuktikan boleh berlaku apabila angka-angka berjaya mengalahkan sistem.

Kekacauan terhadap sistem menghasilkan natijah di mana Umno akhirnya kalah, dan seorang perdana menteri rebah.

Seperti mentega, jika tidak dikocak dan diaduk masakan terpisah susu dan lemak.

Demikian jugalah proses demokrasi-politik Malaysia. Renyah dan menyusahkan, namun perlu dijalani. Cuma, hasilnya tidak semestinya baik belaka, dan kesannya pula tidak boleh dijangka.

Racun “halahala”

Dalam tradisi Hindu, ada diceritakan sebuah kisah yang disebut sebagai Samudra Manthana, iaitu proses pengadukan lautan susu (dalam kosmologi Hindu) untuk mendapatkan amrita, tirta kehidupan abadi. Kisah latarnya panjang, boleh dibaca di Wikipedia.

Arakaian maka Sang Hyang Wisnu (Dewa Vishnu) pun menyuruhlah para dewa dan asura (dua kumpulan bertelagah) untuk saling bekerjasama, melilitkan ular raksasa Vasuki sebagai tali pengaduk, manakala gunung Mandara dicabut dan dijadikan tongkat pengaduknya.

Para dewa berpegang di ekor Vasuki, manakala para asura menariknya di kepala, mereka pun bertolak tarik memutar gunung Mandara di tengah samudra raya supaya berkocak dan teraduk sehingga muncul pelbagai ratna mistik daripada proses itu.

Antaranya termasuklah dewi Lakhsmi, para bidadari Apsara dan segala ma’nikam benda berjumlah empat belas semuanya yang membawa kemakmuran kepada dunia.

Namun antara segala yang sakti itu, timbul suatu racun yang diberi nama “halahala”. 

Kalah dengan kekuatan racun ini, dan tidak dapat menahan bisanya, para dewa langsung meminta pertolongan Brahma.

Namun kata Brahma, hanya Shiva yang kuat untuk menolong mereka.

Bisa racun itu, jika tidak dimusnahkan maka akan menghancurkan seluruh alam semesta. Lalu pergilah mereka ke gunung Kailash bagi memohon pertolongan Shiva.

Apakah yang dilakukan dewa pemusnah ini? Ia langsung meneguk racun itu, meski tidak tertelan semuanya.

Tekaknya bertukar biru akibat bisa racun halahala. Tiada ia mendapat sebarang faedah daripada samudra manthana, kecuali secangkir racun berbisa.

Dewa yang lain-lain dapat macam-macam, termasuklah meneguk tirta keabadian yang diusahakan bersama para asura.

Demikian barangkali caranya boleh kita gambarkan usaha perpaduan yang sedang dijalankan dalam politik Malaysia hari ini.

Daripada kerjasama pihak-pihak bertelagah, ada yang mendapat hasil yang baik-baik, dan ada pula yang hanya memperoleh racun.

Pada 2018, kita menyaksikan kerjasama blok pembangkang bersama mereka yang menyokong Dr Mahathir.

Manfaatnya dikongsi bersama buat sementara cuma, sebelum pengkhianatan beberapa individu akhirnya memusnahkan segala yang dibina.

Hatta Dr Mahathir pun tiada lagi punya kredibiliti seperti sewaktu ia bersama Pakatan Harapan (PH).

Dalam ronda pertama pentadbiran PH pimpinan mantan perdana menteri itu,

Dr Mahathir yang terkena racun politik sehingga habis hancur legasi politiknya.

Terpisahnya Dr Mahathir daripada gabungan bersama DAP, PKR dan Amanah mengakibatkan Dr Mahathir terpaksa berpuas hati dengan nasibnya pada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan beliau tewas di Langkawi. Bukan sahaja tewas, wang depositnya juga hilang.

Kini muncul pula ronda kedua kerajaan hibrid pimpinan Anwar.

Racun politik

Sebenarnya kalau kita sorot kembali sejarah kerajaan PH 2018, tidak sukar untuk kita melihat masalah yang menimpa kerajaan ketika itu sedang kembali berulang.

Cumanya kali ini, yang terkena racunnya ialah Umno.

Pada ronda pertama dahulu, Bersatu menyaksikan kekalahan demi kekalahan pada setiap pilihan raya kecil (PRK) yang ditandingnya, sambil DAP muncul cemerlang setiap kali.

Kemuncaknya di Tanjung Piai, apabila Muhyiddin Yassin memutuskan untuk meninggalkan PH.

Keputusan PRN yang baru selesai menyaksikan pula Umno berkesudahan kecewa dengan prestasinya.

Faktor-faktor kekalahan itu ada pelbagai, termasuklah faktor Ahmad Zahid Hamidi, defisit kepercayaan pengundi terhadap Anwar, dan protes pengundi Umno yang tidak keluar mengundi, atau mengundi PAS. 

Maka timbul persoalan bagaimanakah Umno perlu bergerak untuk mendamaikan keresahan penyokongnya.

Adakah akhirnya perdana menteri akan perlu bersetuju Najib harus diberikan pengampunan?

Sebagai imbalan untuk memastikan keseimbangan tidak tergugat, adakah Zahid perlu masuk ke dalam?

Jika Zahid digugurkan, adakah kerajaan perpaduan akan turut tumbang? Siapa pula akan jadi presiden Umno? Takkan Anwar pula.

Apa pun persoalannya, Umno sedang berdepan dugaan yang amat berat.

Di depannya api, di belakangnya duri. Lalu bagaimanakah caranya untuk Umno membantu dirinya, atau adakah DAP akan perlu membantu Umno?

Ah sudah, DAP pula perlu bantu Umno?

Belum pun sejuk bara PRN, kerajaan Madani bakal diuji lagi di tiga PRK.

Bagaimana pula nasib gabungan PH-Barisan Nasional (BN) sekiranya ia perlu berdepan kekalahan di tiga PRK itu?

Hasil kajian Ilham Centre yang didakwa “cacat” oleh perdana menteri, merumuskan gelombang sokongan untuk Perikatan Nasional (PN) sejak PRU ke-15 masih belum reda, dengan kadar hakisan sokongan pengundi Melayu terhadap Umno semakin menjadi-jadi.

Itu belum dicampur fenomena sokongan anak muda Melayu terhadap PN, meski berbekalkan pengetahuan politik yang terhad.

Ditambah pula dengan penyusutan sokongan penjawat awam (polis, tentera, guru pun juga) kepada parti kerajaan, selain kuasa sebaran maklumat berbentuk fitnah sensasi yang mempengaruhi pengguna media sosial tanpa strategi komunikasi yang jelas daripada aparat kerajaan sendiri.

Ilham menjangkakan, sekiranya trend tersebut berterusan, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar akan berdepan masalah; bukan sahaja pada PRU ke-16, bahkan lebih awal lagi di PRK yang bakal berlangsung, serta PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum berkemuncak di PRU16.

Berdepan semua kemungkinan ini, bagaimanakah Umno harus bekerja untuk mencari penawar bisa, dan kembali mengambil sikap sebagai sebuah parti kerajaan seperti fitrahnya selama ini? 

Bagaimanakah pula, seperti yang difikirkan Kit Siang, parti-parti komponen kerajaan perpaduan harus membantu untuk memulihkan Umno? 

Bincangkan. – 24 Ogos 2023.
 

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen