Umno kumpul dapatan pascanilai PRN


Umno yang mewakili BN hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi mereka pada PRN enam negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2023.

UMNO sedang mengumpul semua dapatan daripada pascanilai bagi mengenal pasti kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan kerusi ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos lalu.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata buat masa ini, pascanilai sedang dilaksanakan di peringkat negeri dan sayap parti itu.

“Saya percaya setiap negeri dan sayap sedang melakukan perkara itu sebelum kita kumpulkan (dapatan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi sulung Debat Perdana Madani 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor hari ini.

Beliau mengulas mengenai status pascanilai parti selepas PRN.

Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam PRN di enam negeri itu.

BN menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, satu di Kelantan serta gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Minggu lalu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dilaporkan berkata, Umno akan mengadakan pascanilai bagi mencari kelemahan parti selain menjelaskan terdapat banyak faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan PRN itu. – Bernama, 21 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen