Bukan salah Zahid seorang BN kalah teruk, kata Ku Li 


Ravin Palanisamy

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dipersalahkan seorang berhubung prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya enam negeri (PRN) yang berakhir baru-baru ini, kata veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata pemimpin dalam parti itu harus “memikul tanggungjawab bersama”.

“Zahid sebagai presiden Umno bertanggung jawab tetapi orang lain juga bertanggungjawab. Ini bukan kerja seorang individu sahaja tetapi mestilah ada kesepakatan di antara mereka yang dinamakan sebagai pemimpin. Jadi, mestilah pikul bersama tanggungjawab, kerana ia tidak dipikul seorang,” kata Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.

“Kalau kalah seperti dialami pada peringkat PRN baru-baru ini, bererti semuanya terlibat. Dalam kepimpinan sudah gagal. Kalau kita desak seorang sahaja tidak adil,” kata ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini, yang tewas di kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum lalu.

Terdapat kritikan yang semakin meningkat yang menggesa timbalan perdana menteri berundur daripada Umno selepas prestasi buruk parti itu dalam PRN.

Umno merupakan satu-satunya parti yang bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN), hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 yang ditandinginya di enam negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Veteran Umno Idris Jusoh secara terbuka menggesa Zahid meletak jawatan, menyalahkan beliau sepenuhnya berhubung kekalahan parti itu di Terengganu.

Gesaan agar Zahid berundur kedengaran sejak prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-15, dengan gabungan itu hanya memenangi 30 daripada 191 kerusi yang ditandinginya.

Zahid juga mendapat kritikan kerana bersetuju bekerjasama dengan musuh lamanya Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan persekutuan berikutan kebuntuan politik selama seminggu selepas tiada parti atau gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah.

Beliau mengukuhkan pegangannya terhadap Umno selepas parti itu meluluskan resolusi tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi – presiden dan timbalan presiden.

Zahid turut memecat beberapa pemimpin terkemuka menjelang pemilihan parti, termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar.

Sementara beberapa yang lain, termasuk Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan, digantung selama enam tahun. – 19 Ogos, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen