Yang kalah jangan bertanding lagi, kata Puad Zarkashi


Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas jangan bertanding lagi di pilihanraya akan datang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2023.

CALON Umno yang kalah pada Pilihan Raya Negeri dan mereka yang berusia 45 tahun dan ke atas tidak patut lagi menjadi calon untuk pilihan raya akan datang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau mengulas kekalahan teruk Barisan Nasional, hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada enam PRN yang berlangsung semalam.

Ia hanya mempunyai prestasi baik di Negeri Sembilan dengan menang 14 kerusi. Di negeri lain, Umno malah kalah di kerusi yang selama ini menjadi kubu kuatnya.

“Sekali lagi Umno berhadapan ujian berat. Menang 19 sahaja daripada 108 kerusi yang ditandingi. Umno semakin hilang sokongan orang Melayu.

“Bukan mudah untuk Umno mencari formula baru. Tetapi Umno jangan panik seperti mahu tinggalkan Kerajaan Perpaduan. Fokus agenda ekonomi rakyat dan ekonomi negara.

“Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas jangan bertanding lagi di pilihanraya akan datang. Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen,” tulisnya di Facebook.

Awal hari ini, seorang lagi veteran Umno Idris Jusoh mendesak Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan kerana prestasti buruk parti itu semalam.

“Umno kalah teruk di PRN semalam. Umno kalah 100% di Terengganu.

“Zahid Hamidi perlu letak jawatan,” katanya di Facebook. – 13 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen