PERTIKAIAN antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berhubung jawatan menteri besar di Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan persefahaman antara kedua-dua gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya negeri pada 12 Ogos, kata pemerhati.
Mereka berpendapat isu itu tidak cukup kuat untuk menggoyahkan hubungan PH dan BN, dengan menyatakan perkara sebegitu adalah perkara biasa dalam kerjasama politik.
Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa penyandang MB Aminudin Harun, dari PKR, akan terus menerajui negeri itu jika pakatan PH-BN memenangi pilihan raya bulan depan.
Anwar berkata Aminuddin telah menunjukkan prestasi yang memuaskan dalam menerajui Negeri Sembilan dan telah membantu rakyat dengan pelbagai program.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebaliknya berkata semua parti dalam kerajaan perlu fokus untuk memenangi pilihan raya negeri sebelum ada sebarang perbincangan mengenai calon menteri besar mereka.
Mohamad juga dilaporkan mengingatkan bahawa keputusan muktamad calon menteri besar terletak di tangan pemerintah Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar.
Senada dengan Mohamad ialah ahli akademik Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.
Beliau berkata PH-BN harus mencari formula bagaimana untuk menang dalam pilihan raya sebelum memutuskan siapa yang akan menjadi MB.
“Akhirnya Yang di-Pertuan Besar akan tentukan, justeru mereka harus menang dahulu sebelum berebut jawatan. Tugas itu tidak mudah. Menang hebat, cuba dapatkan orang Melayu menyokong anda dan kemudian bercakap tentang MB.
“Jika terlalu banyak bising tentang MB, kamu tidak akan dapat fokus untuk menang. Jika kalah, kamu akan rugi besar,” kata Awang Azman.
Bagi Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre, pertelingkahan itu bukanlah ancaman serius kepada kerjasama itu tetapi menegaskan PH dan BN perlu menangani perkara itu dengan berhati-hati.
Memetik kajiannya, beliau berkata pengundi di negeri ini selesa dengan pentadbiran semasa membabitkan PH dan BN.
“Ia sepatutnya tidak menjadi masalah dan ia sebenarnya bukan isu. Ia tidak akan menimbulkan masalah kepada kepimpinan parti tetapi adalah lebih baik jika mereka boleh mempunyai persefahaman.
“Kemungkinan besar BN mempunyai calon mereka sendiri tetapi berdasarkan kajian kami, di lapangan ia sebenarnya tidak menjadi isu,” katanya.– 31 Julai, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen