Kenyataan Sanusi cenderung bangkit perasaan tidak setia kepada raja, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menegaskan pertuduhan yang dihadapi Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Muhammad Sanusi Md Nor tiada kaitan dengan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai 2023.

KENYATAAN yang dibuat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Justeru, katanya pertuduhan yang dihadapi Sanusi tiada kaitan dengan kerajaan.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook hari ini sebagai membalas kenyataan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu di media semalam, kononnya pertuduhan keatasnya petunjuk kerajaan dalam ketakutan.

Semalam, Muhammad Sanusi, 48, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama, 19 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen