MAJORITI orang Melayu di Selangor berpuas hati dengan prestasi Amirudin Shari dan mahu beliau kekal sebagai menteri besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan, lapor Astro Awani memetik dapatan kajian baru-baru ini.
Tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor yang dijalankan Endeavour-MGC ke atas 1,068 responden Melayu mendapati 71% gembira dengan prestasi kerajaan negeri pimpinan Amirudin, dengan 75% responden mahu PH melantik semula beliau sebagai menteri besar sekiranya gabungan itu menang sekali lagi.
Amirudin jadi pilihan pertama responden sebagai menteri besar Selangor dengan undian 46%, diikuti bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin sebanyak 24%.
Manakala di tempat ketiga, 10% responden memilih Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerajui Selangor.
Hanya 6% responden memilih bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali hanya 6%.
Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada 2018 ketika masih bersama PKR.
Tinjauan dijalankan dari 12 hingga 18 Jun lalu, ke atas 1,068 responden daripada keseluruhan 1,910,841 pengundi Melayu di Selangor.
Sementara itu, tinjauan sama juga mendapati 63% responden merasakan hak mereka sedang digugat, namun tidak menyatakan ‘siapa’ dan ‘apa’ yang menggugat hak mereka.
Sebanyak 35% responden tidak setuju hak mereka sedang digugat, manakala 2% lagi lagi menyatakan ‘tidak tahu’.
Tinjauan itu juga mendapati majoriti besar responden iaitu 87% tidak mengetahui mengenai inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, sementara 13% berkata mereka tahu.
Pada masa yang sama, 49% responden ‘amat risau’ tentang kesan inflasi ke atas kewangan peribadi mereka, manakala 40% ‘risau’ mengenainya, 11% pula ‘sedikit risau’, kata tinjauan.
Tinjauan dijalankan di semua 56 kerusi DUN Selangor, dan pecahan responden mengikut jantina pula adalah seimbang antara lelaki dan wanita.
Margin kesilapan keputusan adalah 3.0% dengan 95% keyakinan setiap responden. – 14 Julai 2023.
Komen