Bekas pengerusi PAC gesa siasatan terhadap perjanjian konsesi kerajaan Muhyiddin


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat pentadbiran Muhyiddin Yassin (gambar) atas dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat pentadbiran Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak pengurusan, kata Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh.

Wong, yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berkata SPRM mesti melihat mengapa kerajaan pada 2020 telah membatalkan surat hasrat kepada pembekal baharu, dan memberikan kontrak bekalan itu kembali kepada pembekal lamanya pada kadar yang lebih tinggi.

Beliau berkata hartawan Vincent Tan telah memulakan saman undang-undang terhadap Kementerian Kewangan dan syarikat Spanco Sdn Bhd berhubung perjanjian konsesi kenderaan bernilai jutaan ringgit.

“Isu penamatan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada konsortium Naza-Berjaya timbul selepas Muhyiddin mengambil alih jawatan perdana menteri kelapan pada Mac 2020.

“Tan juga dalam samannya mendakwa kontrak yang diberikan kepada Spanco adalah RM700 juta lebih (daripada kontrak yang diberikan kepada Naza-Berjaya).

“Dakwaan Tan sangat serius. Apa yang didakwa jelas menunjukkan ketidakpatuhan dalam proses tender oleh kerajaan (Perikatan Nasional) pada 2020 yang diketuai oleh Muhyiddin,” kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tan yang merupakan pengasas kumpulan Berjaya dilaporkan memfailkan saman itu selepas konsortiumnya dinafikan kontrak.

Beliau berkata Naza-Berjaya telah dipilih untuk menguruskan konsesi oleh pentadbiran yang diketuai Dr Mahathir Mohamad melalui LOI yang dikeluarkan pada 2018.

Berjaya membentuk konsortium 49:51 dengan Naza pada 2018 untuk membida bersama kontrak lumayan itu, yang dilaporkan melibatkan kira-kira 12,500 kenderaan bernilai dianggarkan RM300 juta setiap tahun bermula selepas tahun kelima. – 18 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen