MENTERI Besar Johor Onn Hafiz Ghazi memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam berhubung isu pertukaran tanah Kementerian Pertahanan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam satu kenyataan berkata Onn Hafiz dipanggil bagi menjelaskan peranannya dalam penukaran pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson ke Kem Paloh di Kluang pada 2016.
Saksi keempat itu dipanggil susulan pendedahan Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang ketika itu dipengerusikan Ambrin Buang mendedahkan beliau ada kaitan dalam projek pembinaan Kem Paloh di Kluang mulai 2016 menerusi kaedah pertukaran tanah.
PAC sebelum ini telah memanggil Ambrin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abdul Aziz pada November 2020 serta Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein pada Disember 2021, juga untuk memberi keterangan berkenaan isu yang sama.
“Projek pertukaran tanah dan pembinaan baharu itu bermula 2012. Ia pada asalnya membabitkan tukaran tanah kem asal Kem Kinrara di Selangor seluas 94.01 ekar, pembinaan fasiliti Tentra Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan dan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Tetapi, pada 2016, cadangan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson itu ditukar menjadi cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang,” kata Wong dalam kenyataan.
Pada November 2020, beliau berkata PAC akan menjalankan siasatan ke atas isu itu selepas mendapat taklimat daripada JKSTUPKK.
Wong ketika itu berkata PAC membuat keputusan akan mengadakan prosiding berhubung pertukaran tanah dari 1995 hingga 2018 yang dibuat di bawah Kementerian Pertahanan.
Menurutnya, JKSTUPKK mendedahkan 16 kes pertukaran tanah membabitkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai berjumlah RM4.8 bilion.
Onn Hafiz hadir semalam atas kapasiti sebagai bekas setiausaha politik kepada menteri pertahanan dari 2013 hingga 2018.
“Siasatan PAC menjurus kepada peranan beliau dalam cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang mulai 2016,” kata Wong.
Prosiding itu berlangsung selama dua jam bermula 4 petang.
Menurut Wong lagi, PAC melawat Kem Paloh seluas kira-kira 65 ekar pada sebelah pagi sebelum prosiding bermula. – 5 Julai, 2022.
Komen