JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak akan membenarkan sebarang laporan “disembunyikan” atas alasan keselamatan negara, kata Wong Kah Woh.
Pengerusi PAC itu berkata rakyat Malaysia tidak akan dihalang daripada mengetahui bagaimana kerajaan membelanjakan wang pembayar cukai, atas alasan itu.
“PAC bertanggungjawab untuk menyiasat urusan kerajaan dan semua prosiding akan direkodkan secara verbatim seperti dalam hansard Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua laporan PAC berdasarkan kepada kenyataan saksi yang disahkan.
“Oleh itu saya mendapatk komen Ahmad Zahid Hamidi berkenaan bagaimana PAC patut lebih sensitif tentang isu kapal tempur (LCS), agak membingungkan.”
Wong berkata PAC mengiktiraf sepenuhnya keperluan kerahsiaan dalam siasatannya tetapi “keselamatan negara” tidak boleh dijadikan alasan untuk menyembunyikan salah laku.
“Perbincangan hangat dalam masyarakat awam menunjukkan betapa rakyat mahu tahu kebenaran tentang projek LCS.
“Sebagai pengerusi PAC, saya tidak akan membenarkan ‘keselamatan negara’ disalahgunakan untuk menghalang orang ramai tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan,” katanya.
Semalam, Zahid berkata pendedahan dokumen berkaitan projek LCS boleh mengancam rahsia negara.
Zahid menggesa Putrajaya mengendalikan isu itu dengan bicak dan telus, dan tidak terpengaruh dengan pandangan awam.
“PAC patut lebih sensitif ketika menyiasat kes LCS kerana ia membabitkan keselamatan negara,” kata Zahid di Facebook.
Wong hari ini berkata Zahid tampil memberi keterangan kepada PAC pada 21 Oktober dan kenyataannya kemudian dihatar semula kepada bekas menteri pertahanan itu untuk disahkan.
“Untuk rekod, Zahid tidak meminda atau membetulkan keterangannya,” kata Wong.
Wong berkata PAC boleh membuat pembetulan perlu jika ada maklumat sensitif yang prejudis terhadap kepentingan negara.
Pada Ahad, Zahid berkata tidak tepat untuk meletakkan kesalahan kepadanya berkenaan skandal LCS walaupun beliau menteri pertahanan pada masa itu.
Minggu lalu, PAC mendedahkan laporannya berkenaan pemerolehan LCS, berkata semua enam kapal tempur LCS tidak dihantar selepas kerajaan membayar RM6 bilion. – 9 Ogos, 2022.
Komen