Ramasamy gesa Sanusi disiasat


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa lebih ramai orang bukan Islam terlibat dalam amalan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md No mesti disiasat kerana mendakwa bukan Islam adalah paling ramai ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata Sanusi, yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), membuat dakwaan tidak berasas dan mencabarnya untuk menyokong kenyataan itu dengan fakta.

“Cerita karut Sanusi seolah-olah tiada penghujung. Dia enggan melihat rasuah melanda semua lapisan masyarakat, tanpa mengira etnik atau agama.

“Bolehkah Sanusi menyokong dakwaannya atau memberikan statistik tentang orang bukan Melayu yang paling ramai rasuah?

“Kenyataan politik atau populis semata-mata tanpa fakta menjadikan ia cetek dan perkauman,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata kenyataan Sanusi itu bertujuan mahu menjadi popular sebelum pilihan raya negeri dengan mengorbankan orang bukan Melayu.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi seorang pemimpin negeri membuat dakwaan sedemikian.

“Terdapat arahan jelas daripada polis yang melarang hasutan terhadap kaum, agama dan diraja.

“Polis mempunyai alasan mencukupi untuk menyiasat Sanusi kerana melemparkan fitnah terhadap orang bukan Melayu,” katanya.

Semalam Sanusi dilaporkan berkata adalah fakta bahawa bukan Islam paling banyak ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah.

Beliau juga menyalahkan DAP kerana mula mempermainkan naratif yang pemimpin Melayu terlibat dalam rasuah.

Susulan itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Sanusi mesti memberikan bukti bagi dakwaannya, sambil menambah ia tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. – 13 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen