MENTERI Besar Kedah dan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata tidak salah Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata bukan Islam paling banyak terlibat dalam amalan rasuah.
Sanusi berkata adalah fakta yang bukan Islam adalah yang paling banyak ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah.
Beliau juga menyalahkan DAP kerana mula mempermainkan naratif yang pemimpin Melayu terlibat dalam rasuah.
“Saya pegang (pendirian) sama macam Tok Guru (Abdul Hadi) selagi saya benar, saya cakap. Pergi tengok rekod orang ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima, ramai (orang) bukan Islam. Itu fakta dan benar.
“Sebab pada ketika kenyataan itu dikeluarkan, DAP memainkan (dakwaan) pemimpin Melayu ini rasuah. Semua ini pemimpin Melayu tak boleh dipercayai.
“(Mereka kata) Lebih baik orang bukan Islam baik daripada pemimpin Islam yang tak baik kerana mengamalkan rasuah. Tetapi bila tengok fakta, banyak ditangkap adalah orang bukan Islam,” katanya dipetik akhbar New Straits Times hari ini.
Beliau berkata demikian semasa program bual bicara “Keluar Sekejap” yang disiarkan dalam talian malam tadi. – 12 Julai, 2023.
Komen