Loke minta MB Kedah tunjuk bukti orang bukan Islam banyak beri rasuah


Setiausaha agung DAP Anthony berkata dakwaan MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa orang bukan Islam sebagai pemberi dan penerima rasuah terbanyak tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor diminta untuk memberikan bukti berhubung dakwaannya bahawa orang bukan Islam sebagai pemberi dan penerima rasuah terbanyak, kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung DAP itu berkata dakwaan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan “sweeping statement” seperti ini bukan sahaja tidak berasas malah menimbulkan perasaan kebencian di antara kaum dalam masyarakat majmuk kita. 

“Kita mencabar Sanusi untuk mengemukakan laporan mana yang membuat kesimpulan tersebut? Dimana “faktanya”? Fakta berdasarkan kajian apa? 

“Kalau tidak dapat memberikan bukti, Sanusi patut memohon maaf secara terbuka,” katanya dalam catatan di Facebook.

Menteri pengangkutan berkata rasuah tidak sepatutnya dikaitkan dengan mana-mana kaum tertentu dan semua rakyat harus berusaha memeranginya.

Beliau menegaskan kenyataan Sanusi adalah bukti Perikatan Nasional merosakkan keharmonian kaum dan harus ditolak oleh rakyat Malaysia.

Semalam Sanusi dilaporkan berkata tidak salah Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata bukan Islam paling banyak terlibat dalam amalan rasuah.

Sanusi berkata adalah fakta yang bukan Islam adalah yang paling banyak ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah.

Beliau juga menyalahkan DAP kerana mula mempermainkan naratif yang pemimpin Melayu terlibat dalam rasuah.

“Saya pegang (pendirian) sama macam Tok Guru (Abdul Hadi) selagi saya benar, saya cakap. Pergi tengok rekod orang ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima, ramai (orang) bukan Islam. Itu fakta dan benar.

“Sebab pada ketika kenyataan itu dikeluarkan, DAP memainkan (dakwaan) pemimpin Melayu ini rasuah. Semua ini pemimpin Melayu tak boleh dipercayai.

“(Mereka kata) Lebih baik orang bukan Islam baik daripada pemimpin Islam yang tak baik kerana mengamalkan rasuah. Tetapi bila tengok fakta, banyak ditangkap adalah orang bukan Islam,” katanya dipetik akhbar New Straits Times hari ini.

Beliau berkata demikian semasa program bual bicara “Keluar Sekejap” yang disiarkan dalam talian malam tadi. – 12 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen