KUMPULAN G25 terkejut dengan kenyataan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin yang melihat tiada masalah untuk melantik ahli politik menganggotai lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika gabungan itu memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Mereka berkata memandangkan semua negara kini mengamalkan amalan terbaik dunia dalam sistem tadbir urus korporat, Malaysia akan kalah kepada negara jiran dan di peringkat global jika negara meneruskan amalan buruk masa lalu.
“GLC beroperasi dalam sektor swasta, bersaing dengan syarikat tempatan dan asing dalam pasaran untuk perniagaan.
“Oleh itu mereka tidak sepatutnya mempunyai pengarah berkaitan politik dalam lembaga supaya tidak menimbulkan syak wasangka tidak sihat mengenai keputusan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
G25 berkata ini adalah perkara yang sangat penting terutamanya kepada syarikat multinasional asing kerana mereka mencari lokasi yang sesuai untuk operasi perniagaan mereka di Asia Tenggara.
Dalam temu bual dengan (Free Malaysia Today) FMT minggu lepas Muhyiddin berkata menjelang pilihan raya negeri, PN bersetuju menyelesaikan agihan jawatan di kalangan komponen parti sekiranya menang pada PRN nanti.
Muhyiddin berkata PN yang akan bertanding di 245 kerusi DUN mahu mengelakkan pergeseran jika mereka berjaya menawan Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang selain mengekalkan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
G25 berkata kenyataan Muhyiddin itu mengejutkan kerana ia bercanggah dengan langkah pembaharuan yang diperkenalkan berikutan kesan buruk krisis kewangan Asia Timur 1997/98 bagi mengukuhkan sistem tadbir urus korporat dalam kedua-dua sektor swasta serta dalam sektor GLC.
“Garis panduan baharu yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti kita mengikut amalan terbaik dunia seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
“Semua lembaga pengarah dikehendaki mengambil tanggungjawab penuh ke atas pelantikan lembaga pengarah tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik atau lain-lain,” katanya.
G25 berkata apabila calon yang mempunyai kaitan politik dicadangkan untuk jawatan lembaga pengarah atau pengurusan, lembaga itu mesti menganalisis sama ada mereka aktif secara politik dan sama ada mereka layak secara profesional.
“Amalan terbaik dunia ialah tiada calon yang aktif dari segi politik harus diterima untuk pelantikan lembaga pengarah atau untuk jawatan pengurusan tertinggi,” katanya.
Mereka berkata badan berkanun bukan GLC kerana ia tidak diperbadankan di bawah Akta Syarikat.
“Mereka mempunyai undang-undang sendiri yang mengawal penubuhan dan operasi mereka.
“Mereka adalah cabang pelaksana kementerian dan oleh itu sistem tadbir urus mereka berbeza daripada GLC. Garis panduan Suruhanjaya Sekuriti tidak terpakai kepada agensi berkanun kementerian kerajaan,” katanya. – 4 Julai, 2023.
Komen