Reformasi segera proses lantikan pengarah GLC


GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam dua pelantikan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang baru diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dua pelantikan tersebut adalah pelantikan mantan ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob sebagai pengerusi Felcra.

Tambah lagi, pelantikan terkini iaitu Husam Musa selaku pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Pelantikan ini diumumkan ketika Umno sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Justeru, pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan.

Kami mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang usaha awalnya untuk menyelaraskan proses pelantikan GLC dan memerangi kronisme.

Pada 2021, Bersih menerbitkan satu kajian lengkap fenomena ini yang menunjukkan GLC dan agensi berkaitan digunakan untuk mendapatkan sokongan politik.

Laporan tersebut, “Reforming the Appointment Process of Directors in GLICs, GLCs and Commercially Related Statute Bodies”, yang ditulis oleh Fikri Fisal menunjukkan sekurang-kurangnya 25 ahli politik dilantik sebagai pengarah dalam GLC/badan berkanun semasa pentadbiran Pakatan Harapan (2018-2020).

Bilangan ini bertambah teruk semasa pentadbiran Perikatan Nasional di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik dilantik.

Sementara kami tidak sepenuhnya melarang ahli politik untuk memegang sebarang jawatan dalam GLC atau badan berkanun, proses pelantikannya perlu direformasi supaya mana-mana pelantikan yang dibuat dengan telus selepas calon menjalani penelitian agar mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan yang tepat, dan bukannya sekadar “ganjaran politik” untuk mendapatkan sokongan.

Hal ini akan berterusan sekiranya tidak ada reformasi proses pelantikan.

Kami mencadangkan tindakan berikut yang berdasarkan amalan terbaik demokrasi negara lain untuk diambil bagi mereformasi pelantikan jawatan tertinggi GLC, GLIC dan badan berkanun:

a) Larangan melantikan wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun. Hal ini dilaksanakan di India dan Korea Selatan, dan perundangan yang serupa boleh dikaji dan diteladani.

b) Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan.

Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara wewenang.

c) Penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini.

Bersih menggesa kerajaan melaksanakan reformasi ini dengan segera meletakkan mekanisme yang diperlukan bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekaligus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut. . – 20 Mac 2023.

* Jawatankuasa Pemandu Bersih.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen