Lantikan GLC: Wujudkan mekanisme pemilihan yang jelas


PADA 14 Disember 2022, kerajaan perpaduan memutuskan supaya lantikan politik dalam badan berkanun, syarikat milik Kementerian Kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Pada minggu berikutnya, kerajaan menangguhkan pelantikan semula bekas ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra Berhad, salah sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Keputusan kerajaan ini disambut baik agar kerajaan dapat memilih mereka yang benar-benar kompeten dan berintegriti yang mampu memimpin serta memacu badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan dan GLC supaya lebih berdaya maju.

Kompeten bermaksud mempunyai keupayaan, ilmu dan juga kemahiran untuk melaksanakan tugas kepimpinan dengan jayanya. Integriti pula merujuk kepada sifat kejujuran dan berpegang kepada prinsip-prinsip moral yang utuh.

Oleh itu, lapan karakter bangsa, yang dimuatkan dalam deklarasi bersama Ikram, Wadah dan Sinar Harian pada 14 November 2022, wajar dijadikan kriteria dan ciri dalam memilih kepimpinan tersebut iaitu berkemampuan, berdaya maju, amanah dan berintegriti, kasih sayang, jujur, berkeadilan, utamakan rakyat dan berprinsip.

Ciri-ciri ini bertepatan dengan saranan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW agar sesuatu urusan itu perlu diserahkan mereka yang ahlinya. Jika tidak, sesuatu urusan itu bakal menemui kegagalan.

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat (mampu), lagi amanah.” (Al-Qasas: 26)

“Jika amanah telah disia-siakan, tunggu sahaja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya, “Bagaimana maksud amanah disia-siakan?” Nabi SAW menjawab, “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (HR Bukhari) 

Oleh yang demikian, kerajaan disaran agar mewujudkan mekanisme pemilihan yang jelas dan telus untuk melantik kepimpinan dalam badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan dan GLC melalui badan, panel atau lembaga tertentu, sebagai contoh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. 

Badan, panel atau lembaga ini hendaklah dianggotai oleh ahli yang berpengalaman luas dan daripada pelbagai latar belakang yang relevan, sama ada daripada sektor awam ataupun swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, kriteria yang jelas dan spesifik perlu dibangunkan berdasarkan skop, peranan dan tanggungjawab sesuatu tugas kepimpinan.

Kriteria-kriteria pemilihan mestilah menekankan calon kompeten yang mempunyai kelayakan akademik atau pengalaman yang bersesuaian dan kemahiran serta integriti, yang memenuhi lapan karakter bangsa tersebut.

Dengan kata lain, calon yang dipilih mestilah job-fit dan strategy-fit, bersesuaian dengan keperluan jawatan yang dicalonkan.

Dengan proses pemilihan atau pelantikan pemimpin yang jelas, diinstitusikan dan telus, calon yang terbaik dapat dipilih berdasarkan mekanisme dan kriteria yang ditetapkan, sama ada calon tersebut daripada kalangan ahli politik mahupun bukan.

Apa yang penting, calon kepimpinan yang terbaik mestilah dipilih untuk kebaikan negara, khususnya jawatan-jawatan yang mempunyai kepentingan awam dan melibatkan dana awam khususnya dalam badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan dan GLC. – 17 Januari 2023. 

* Badlishah Sham Baharin, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen