Rusia catat rekod baharu eksport bijirin walau kena sekatan


Pengeksport gandum Rusia berjaya mengatasi sekatan yang dikenakan oleh beberapa negara pada permulaan musim 2022-2023. – Gambar EPA, 3 Julai 2023.

RUSIA mencatat rekod eksport bijirin sekitar 58-59 juta tan bagi tempoh 2022-2023, Xinhua memetik laporan RIA Novosti pada Isnin.

Anggaran Kementerian Pertanian mengenai potensi eksport dalam julat 55-60 juta tan adalah tepat, dan pengeksport gandum Rusia telah berjaya mengatasi sekatan yang dikenakan oleh beberapa negara pada permulaan musim 2022-2023, pengerusi lembaga Kesatuan Pengeksport Bijirin Rusia Eduard Zernin dipetik sebagai berkata.

Musim itu menyusuli rekod 2022, apabila petani Rusia menuai 157.676 juta tan bijirin, termasuk 104.237 juta tan gandum.

Pembekalan bijirin Rusia dikawal oleh duti eksport yang fleksibel ke atas gandum, jagung dan barli, yang telah dikuat kuasa sejak Jun 2021, dan kuota tarif yang diperkenalkan pada Februari 2021.

Pada tahun 2023, pelarasan telah dibuat terhadap pengiraan kedua-dua indikator.

Zernin berkata bahawa perubahan dalam had harga bagi duti eksport bijirin dilaksanakan untuk menyalurkan dana kepada pengeluar pertanian.

Tambahnya, mekanisme baharu bagi pengagihan kuota juga akan menggalakkan pengeksport meningkatkan penghantaran ke negara-negara memerlukan.

Anggaran kementerian mengenai potensi eksport pada musim 2023-2024 ialah 50-55 juta tan, kata Zernin. – Bernama, 3 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen