Garis panduan tapak perkhemahan Selangor siap, kata Sze Han 


Noel Achariam

Bekas exco kerajaan tempatan dan pengangkutan awam Selangor Ng Sze Han berkata garis panduan berkenaan boleh dilaksanakan pengendali tapak perkhemahan di Selangor tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2023.

GARIS panduan untuk pengusaha tapak perkhemahan di Selangor sudah siap, kata bekas exco kerajaan tempatan dan pengangkutan awam Selangor Ng Sze Han, beberapa bulan selepas tanah runtuh mengorbankan 31 orang di Batang Kali.

Beliau berkata mereka sedang menunggu untuk menyelaraskan arahan dengan garis panduan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) yang masih dijalankan.

Ng bagaimanapun berkata, memandangkan kepentingan pemilik tapak perkhemahan memohon lesen terutamanya di Hulu Selangor, mereka boleh mula melaksanakan garis panduan itu tidak lama lagi.

“Mesyuarat exco Selangor minggu lalu telah memutuskan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mula menerima pakai dan menggunakan garis panduan sedia negeri.

“Ini termasuk Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), yang kemudiannya boleh diikuti oleh PBT lain yang sedia menerima pakai dan melaksanakan garis panduan tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

MPHS sepatutnya melaksanakan garis panduan tidak lama lagi ke atas pengusaha tapak perkhemahan di kawasan itu.

Mengenai rancangan untuk mendedahkan garis panduan itu kepada umum, Ng berkata agensi negeri itu akan berkomunikasi dengan PBT yang akan mengetuainya nanti.

Garis panduan itu dibuat berikutan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 orang tahun lalu.

Bencana awal pagi pada 16 Disember, mengorbankan 31 daripada 92 orang yang berada di tapak perkhemahan. Selebihnya selamat tanpa kecederaan atau mengalami kecederaan ringan.

Selepas kejadian itu, semua tapak perkhemahan diarah tutup buat sementara waktu.

“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh kerajaan negeri pada Mac, kira-kira 100 pengusaha tapak perkhemahan telah menyerahkan butiran mereka kepada kerajaan negeri dan PBT.”

Beliau berkata syarat minimum tetapi wajib untuk mendapatkan lesen sementara ialah penyerahan pelan tinjauan.

“Pelan tinjauan adalah bahagian penting. Ini termasuk saiz tapak perkhemahan, apa yang ada padanya dan butiran lain,” kata Ng, sambil menambah beliau bersyukur kerana pengendali tampil mengisytiharkan butiran mereka. – 27 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen