TIMBUNAN sampah pukal di tepi-tepi jalan di kawasan terjejas banjir di Selangor masih tidak berkurangan walaupun usaha pembersihan pasca banjir sudahpun dimulakan, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han.
Kira-kira 15,000 tan sampah sudah dikutip dalam tempoh seminggu selepas banjir besar melanda di beberapa kawasan di negeri itu pada 18 dan 19 Disember lalu, katanya kepada The Malaysian Insight.
Ng berkata, keengganan mangsa banjir untuk membuang harta benda yang rosak antara sebab longgokan sampah silih berganti seperti tiada kesudahan. Ada juga sampah tidak dibuang di kawasan yang dizonkan pusat pengumpulan,tambahnya.
Selangor katanya, mensasarkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di semua kawasan terjejas di negeri itu selesai pada pertengahan Januari.
Menurut Ng, 15,000 tan sampah pukal yang dikutip setakat seminggu lalu juga cuma anggaran kerana ia tidak termasuk sampah yang masih belum diangkut dari stesen pemindahan sementara.
“Di kawasan yang teruk terjejas seperti Sri Mudan dan Sri Nanding, mangsa banjir terpaksa buang hampir semua barang dalam rumah,” ujarnya.
Di kawasan lain yang kurang terjejas seperti di Kinrara Seksyen 1, Puchong, mangsa ingin menyelamatkan seberapa banyak harta benda yang boleh.
Namun, kebanyakan barang terpaksa juga dibuang akhirnya kerana didapati rosak walau selepas dikeringkan.
“Mangsa banjir di sini sayang hendak buang, dan mahu cuba baiki atau guna semula, termasuk tilam dan sofa.
“Tetapi apabila mereka dapati masih berbau busuk, mereka buang, jadi ini menambahkan lagi jumlah sampah pukal sedia ada,” kata Ng.
Longgokan sisa pepejal juga masih banyak berikutan sesetengah mangsa banjir baru membersihkan kediaman masing-masing selepas dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).
Ng yang juga Adun Kinrara dalam pada itu menggesa orang ramai supaya seboleh-bolehnya membuang sisa pepejal mereka ke 11 stesen pemindahan sementara atau tapak pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjong Dua Belas di Kuala Langat.
“Jangan buang di tepi-tepi jalan kerana ini akan melambatkan proses pembersihan pasca banjir.
“Kalau anda buang sampah di tempat yang betul, anda akan membantu kurangkan beban kerja kerajaan tempatan dan percepatkan kerja-kerja pembersihan,” katanya, dan mengingatkan orang ramai supaya tidak membakar longgokan sisa sampah banjir.
Nasihat sama telah diberikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada 27 Disember lalu. Pengarahnya Norazam Khamis dipetik mdia sebagai berkata sebanyak dua kes pembakaran sampah pukal telah dilaporkan di Kapar sejak Sabtu.
Kerja-kerja kutipan sampah pasca banjir dilakukan oleh KDEB Waste Management melibatkan antara 1,300 dan 1,500 pekerja sehari, menggunakan 500 trak.
“Kami juga merima bantuan dari beberapa syarikat yang meminjamkan lori-lori milik mereka untuk mempercepatkan kutipan sampah,” kata Ng.
Berikut 11 stesen pemindahan sementara bagi sampah pukal membabitkan empat pihak berkuasa tempatan:
- Majlis Bandaraya Shah Alam: Seksyen 21, Seksyen 34, Kampung Lombong dan Seksyen 25.
- Majlis Bandaraya Subang Jaya: Bukit Lanchong.
- Majlis Perbandaran Kajang: Sungai Lui, Hulu Langat Batu 14 dan Nanding.
- Majlis Perbandaran Sepang: Taman Emas, Taman Lestari Mewah (Jenderam) dan Salak Tinggi Business Park. – 30 Disember, 2021.
Komen