KERAJAAN Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu untuk menyemak dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) di pusat kurungan masing-masing bagi memastikan kebajikan haiwan kurungan dapat dipelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor Ng Sze Han berkata semakan itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri agar penambahbaikan terhadap SOP di pusat kurungan haiwan berkenaan dapat dibuat.
Katanya, semakan itu turut melihat kepada cadangan ke arah SOP yang lebih seragam serta keperluan naik taraf pusat kurungan dapat dibincangkan.
“Kerajaan negeri komited dalam memastikan haiwan-haiwan jagaan di pusat kurungan di Selangor berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Ng berkata kerajaan Selangor menjunjung kasih atas keprihatinan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang menzahirkan rasa dukacita terhadap keadaan haiwan di pusat kurungan anjing milik Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang tular baru-baru ini.
Semalam, baginda bertitah agar pihak berkuasa khususnya majlis perbandaran memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga penaung diraja kepada kempen ‘Stray Free Selangor’ (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA), bertitah pihak berkenaan perlu meneliti pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat kurungan haiwan terbiar ini.
Terdahulu, media turut melaporkan MPKL menerusi Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP), akan meneliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan anjing di bawah seliaannya.
Hal itu susulan tular beberapa keping gambar anjing yang kurus dan kelihatan tidak terurus di pusat kurungan haiwan yang didakwa di bawah kendalian PBT berkenaan. – Bernama, 13 Januari 2023.
Komen