GERAKAN bebas UndiRabu, sekumpulan rakyat Malaysia biasa, akan memulakan semula inisiatifnya untuk membantu pengundi pulang ke kampung halaman untuk membuang undi pada pilihan raya yang akan diadakan di enam negeri.
Pengasas bersamanya Alzari Joey Mahsar berkata kumpulan itu bersedia membantu pengundi berdaftar pulang dan menggunakan hak mengundi mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada Ogos.
Pilihan raya akan diadakan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Selangor. Negeri ini dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini.
“Kami sentiasa ada apabila ada keperluan dan kini kami menantikan enam PRN.
“Ada keperluan untuk menarik pengundi yang berada di luar negeri pulang dan mengundi. Kami akan sekali lagi menjalankan inisiatif ini untuk menggalakkan pengundi pulang dan mengundi,” kata Alzari kepada The Malaysian Insight.
UndiRabu bersatu semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 untuk membantu pengundi pulang ke kampung halaman masing-masing apabila harimengundi jatuh pada Rabu.
Alzari berkata kumpulan itu bercadang memberi subsidi perbelanjaan perjalanan untuk pengundi berdaftar seperti yang dilakukan pada dua PRU lalu.
“Kami sedang mempertimbangkan untuk memberi RM100 seorang untuk pulang dan mengundi. Kami mahu meringankan perbelanjaan mereka.
“Kami tidak membayar jumlah penuh kerana ia juga tanggungjawab pengundi mendapatkan sejumlah dana. Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengundi.
“Ada rakyat Malaysia yang mahu memenuhi hak mengundi mereka. Ramai daripada mereka masih belum pulih dari segi kewangan akibat pandemik Covid-19. Jadi ini mungkin membantu sedikit,” katanya.
Alzari berkata kumpulan itu akan mula mengumpul dana tidak lama lagi.
“Kami akan membuka prosedur biasa seperti yang kami lakukan sebelum ini, di mana mereka yang ingin pulang boleh mengisi borang Google Docs yang akan disediakan.
“Kami akan mendapatkan butiran lanjut dari situ, seperti dari mana mereka berasal dan ke mana mereka akan pergi, kawasan mengundi, dan banyak lagi.
“Kami kemudian akan mula mencari pembiaya. Saya akan meminta sumbangan orang ramai. Tiada jumlah tetap untuk sumbangan itu. Orang ramai boleh menderma berapa sahaja jumlah yang mereka mahu. Ia boleh jadi serendah RM1 dan boleh jadi setinggi berapa banyak yang rakyat mahu berikan,” kata pengasas bersama UndiRabu itu.
Walaupun jumlah yang dicadangkan tidak akan membantu menampung keseluruhan kos, Alzari berkata RM100 seorang akan meringankan sedikit beban.
“Kali ini, ia hanya perjalanan balik dan saya rasa RM100 adalah cukup bagus kerana kami merancang menghantar mereka di kawasan tengah ke Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Kini, kebanyakan orang mempunyai kereta dan mereka juga boleh berkongsi kereta. Jadi, jika ada empat daripada mereka dalam sebuah kereta, itu akan menjadi RM400. Mereka juga akan mempunyai duit tambahan untuk dibelanjakan untuk makanan.
“Selain itu, terdapat perkhidmatan bas dan kereta api yang memudahkan. Mereka yang ke Pulau Pinang dan Kedah boleh menaiki kereta api manakala mereka di kawasan pantai timur biasanya menaiki kereta,” katanya. – 22 Jun, 2023.
Berita penuh di sini
Komen