Misteri pengundi ‘lompat’


G Manimaran

Di bawah undang-undang semasa, seseorang pengundi berdaftar boleh berpindah atau menukar alamat mengundi mengikut alamat MyKad mereka atau mengikut kemahuan mereka dengan menukar alamat dalam MyKad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac 2023.

KIRA-KIRA sebulan lalu rakan pemerhati politik berkongsi satu pandangan yang cukup menarik. Secara tidak langsung maklumat itu menggambarkan sudah ada usaha untuk memindahkan pengundi dari satu negeri ke negeri lain dan satu kawasan ke kawasan lain menjelang pilihan raya enam buah negeri di Semenanjung.

Malah perkara itu sudah menjadi bahan perbualan di media sosial baru-baru ini. Saya yakin parti-parti politik sedar akan perkara ini.

Cuma isunya ialah siapa yang akan dapat untung dan siapa yang akan rugi.

Sebenarnya saya tidak terkejut dengan maklumat tidak rasmi itu. Sebaliknya sudah menjangkakan situasi itu akan berlaku dalam landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Musim kedua PRU15 juga sudah mula dirasai bagi enam negeri yang tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan persaingan di peringkat Parlimen pada November lalu.

Berdasarkan persefahaman yang dicapai antara gabungan parti politik kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit dijangka akan dibubarkan Jun ini, dua bulan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Pun begitu bahang untuk menghadapi gelanggang di enam negeri itu sudah bertiup kencang di sebalik cuaca panas di banyak kawasan di Semenanjung.

Hampir setiap hari ada laporan yang pelbagai mengenai persiapan ke arah PRU15 musim kedua.

Fenomena memindahkan pengundi atau seseorang pengundi berubah kawasan mengundi yang didakwa berlaku boleh berlaku. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan dalam usaha sesebuah parti memperkukuhkan kedudukan mereka, sekali gus menang dalam pilihan raya umum.

Dalam norma baharu politik pada hari ini, di sebalik peningkatan kesedaran untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya secara aktif, juga boleh menjadi faktor yang membawa kepada keputusan berpindah tempat mengundi. 

Mereka mahu memberi makna kepada undi mereka. Malah ada pengundi yang ikut pemimpin mereka. Di mana mereka bertanding, mereka akan memberikan undi mereka. 

Ini memerlukan tindakan menukar alamat tempat mengundi. Kes ini membabitkan individu, tetapi tidak melibatkan jumlah yang besar. 

Di bawah sistem pendaftaran pemilih secara automatik semua nama pemilih baharu yang mencapai usia 18 tahun dan tidak pernah mendaftarkan diri mereka sebelum Disember 2021 telah dan akan dimasukkan dengan tersendiri atau secara automatik. 

Sehingga PRU15 November lalu masih ramai yang tidak sedar tentang dasar terbaharu itu. Jadi, ada kemungkinan pengundi yang mahu mengubah tempat mengundi mengikut kesesuaian masing-masing.

Itu satu sudut.

Di sudut yang lain, yang menjadi misteri, kontroversi dan polemik ialah memindahkan pengundi ‘berlebihan’ di satu-satu negeri dan kawasan ke kawasan atau negeri lain.

Ramai terkejut dengan perkembangan ini. Adakah ia boleh berlaku? Ya, boleh. Pernah berlaku sebelum ini. Saya yakin hampir setiap parti politik tahu dan sedar fenomena ini.

Tindakan memindahkan pengundi pernah berlaku sebelum ini, menjelang satu-satu pilihan raya umum. Sebelum ini ia dilakukan lebih awal, setahun dua lebih awal kerana negara belum lagi melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula hanya mewartakan pengundi setiap suku tahun. Sebelum tahun 1990-an, pewartaan hanya dilakukan setahun sekali.

Bermula Disember 2021 sistem pendaftaran automatik dan nama pemilih diwartakan setiap bulan. Daftar pemilih diwartakan setiap bulan.

Pindah-memindah bukan sahaja antara bahagian pilihan raya, tetapi juga antara negeri. Perkara ini pernah didakwa berlaku membabitkan Terengganu antara 1999 dan 2004, iaitu selepas pilihan raya umum 1999. Ia menjadi heboh ketika itu. Mengejutkan banyak pihak, tetapi ia berterusan di seluruh negara selepas itu.

Keadaan yang sama pernah didakwa berlaku. Sukar untuk dibuktikan sebagai satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. Sebab itu ia dibiarkan terus berlaku dan digunakan sebagai satu kelebihan oleh sesetengah parti.

Buat masa sekarang tiada peruntukan yang mengatakan perbuatan memindah pengundi sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya.

Kini diperkatakan sudah ada usaha untuk memindahkan pengundi dari Kelantan dan Terengganu ke negeri-negeri yang dikuasai atau diperintah oleh Pakatan Harapan seperti di Selangor dan Negeri Sembilan. 

Sejauh mana ia benar? Kita kena tengok kedudukan jumlah pengundi dalam daftar pemilih terkini dan akan datang dalam sebulan dua ini. SPR mewartakan daftar pemilih setiap bulan. Jadi, kedudukan bulan Mac-April akan memberikan gambaran kukuh antara kedudukan angka yang digunakan pada 19 November lalu dan yang akan diperoleh untuk bulan-bulan mendatang.

Semasa PRU15, Selangor terdiri daripada sekitar 3.67 juta pengundi. Tertinggi dalam rekod SPR setakat ini. Negeri Sembilan lebih 851,000 pengundi. Kelantan sekitar 1.4 juta, manakala Terengganu dalam lingkungan lebih 923,000. Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing 2.6 juta, Perak 2.04 juta dan 1.2 juta.

Apa pun, keadaan itu tidak dapat ditolak dan diketepikan begitu sahaja memandangkan buat pertama dalam sejarah enam negeri tidak mengadakan pilihan raya umum serentak dengan pilihan raya umum Parlimen November lalu. Jadi, ada ruang untuk memindahkan pemilih atau mendorong penyokong satu-satu parti berpindah ke negeri yang menjadi sasaran untuk dikuasai dalam pilihan raya umum negeri bakal diadakan.

Faktor ramai pengundi Kelantan dan Terengganu bekerja di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Atas pertimbangan itu pengundi-pengundi terbabit kemungkinan mahu mengubah tempat mengundi ke Pantai Barat Semenanjung. Keadaan berubah, kehendak pengundi boleh berubah.

Di bawah undang-undang semasa, seseorang pengundi berdaftar boleh berpindah atau menukar alamat mengundi mengikut alamat MyKad mereka atau mengikut kemahuan mereka dengan menukar alamat dalam MyKad. 

Di bawah peraturan pendaftaran negara, seseorang perlu menukar alamat MyKad dalam tempoh tiga bulan selepas berpindah ke kawasan baharu. Bermakna ada keperluan untuk berbuat demikian, sekali gus membolehkan mereka mengubah alamat tempat mengundi jika berhasrat.

Bagaimanapun pihak yang ada kepentingan seperti parti politik boleh membantah apabila daftar pemilih dipamerkan sebelum diwartakan jika wujud elemen-elemen yang mencurigakan tentang status pengundi baharu di sesebuah bahagian. SPR ada menyediakan ruang kemudahan tersebut.

Sebelum ini pernah wujud istilah ‘pengundi hantu’. Mereka yang tidak pernah dilihat sebelum hari pengundi tiba-tiba muncul di tempat mengundi. 

Sebenarnya tiada pengundi hantu. Cuma mereka hadir pada hari mengundi untuk menunaikan tanggungjawab perlembagaan. Apabila nama pengundi sah diwartakan di mana-mana kawasan, nama mereka tidak boleh dikeluarkan kecuali pengundi sendiri hendak mengubah tempat mengundi atau digugurkan kerana telah meninggal dunia atau hilang kelayakan sebagai pengundi.

Dalam politik, pada saya, akan ada parti atau pihak berkepentingan akan menggunakan kelemahan atau kelonggaran undang-undang untuk kepentingan politik mereka. 

SPR perlu mengkaji perkara ini yang seringkali kali menjadi isu dan polemik sekiranya ia menggugat prinsip pilihan raya demokrasi.

Selama ini kita bercakap mengenai wakil rakyat katak yang melompat parti. Kita telah meletakkan noktah dengan pindaan undang-undang berkaitan pada Julai 2022. Jangan kita ada pengundi ‘lompat’ yang boleh mencacatkan sistem demokrasi. – 27 Mac 2023. 

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen