Sisi lain air mata Natrah di panggung teater


Naim Al-Kalantani

SAYA melangkah ke dalam perut Panggung Eksperimen dengan meninggalkan kesemua fakta dan segala macam hal yang saya tahu dan tidak tahu mengenai sosok bernama Natrah.

Namanya, gelarannya, asal usulnya, keturunannya, isunya, tragedi dan tragisnya itu, semuanya saya dalam dua – tahu dan tidak tahu, tepat atau sekadar saya bersangka-sangka.

Saya berbuat demikian kerana segala apa adaptasi, yang perlu dibawa hanyalah zeitgeistnya sahaja dan meninggalkan semua fakta di luar panggung.

Jujurnya saya pun tidak menekuni nama Natrah ini. Ada yang saya cuba bersangka-sangka, dan ada beberapa kata kunci yang bermain di fikiran seperti, “Islam-bukan Islam-Melayu-penjajah-kahwin-dirampas hak.” Semuanya kabur dalam fikiran ini.

Apabila panggung dibuka sahaja, satu lakonan bisu diiringi muzik mendayu. Saya dapat kesan, dalam masa kurang lima minit, itulah sebenarnya kisah Natrah dari mula hingga tamat. Ia digarap sebegitu untuk membina emosi penonton supaya berdiam dan bertenang menunggu apa yang bakal berlaku.

Lakonan Suhaila Ellen sebagai Natrah memang mengesankan. Saya sudah lama tidak menonton drama sebegini. Ada sebab sebuah pentas teater dipanggil “drama.” Ia kerana sesebuah drama, memerlukan unsur-unsur dramatik.

Sebelum ini, saya agak banyak menonton teater, tetapi “drama” itu tiada atau kurang. Terakhir yang saya tonton sebelum Natrah ini, ialah drama Ghaib hasil karya Faisal Tehrani yang diarahkan oleh Fasyali Fadzli.

Suhaila dapat membawa emosi yang betul-betul mengesankan. Mata para penonton berkaca bukan kerana kesedihan, tetapi bagaimana Natrah menggunakan dirinya sebagai seorang polos, ada sifat-sifat perlawanan tetapi akhirnya kalah dengan undang-undang penjajah.

Saya tidak tahu sejauh mana pengarah Khal Isyaf dan Ilham Nor mengolah skrip milik Erma Fatima. Dan saya tak ingin tahu lebih lanjut mengenai itu. Tetapi yang saya tahu, skrip ini sangat kuat untuk menimbulkan perasaan tidak senang kepada penonton.

Sesiapa sahaja yang mengangkat skrip Natrah kepada lakon layar ataupun lakon pentas, dia sudah menang. Ia disebabkan Natrah sendiri ada nilai emosi dan sentimental untuk orang Melayu-Islam.

Kemenangan ini terhasil secara semula jadi kerana permainan sentimen sebegini memang dapat memaut mana-mana penonton.

Tetapi saya silap pada akhirnya. Saya ingatkan sentimen agama digunakan sehingga tamat persembahan. Emosi yang digunakan lebih kepada emosi hubungan kekeluargaan.

Pentas bermula dengan kemesraan semula jadi oleh Che Aminah (Airin Hazrin) dengan Natrah. Walaupun Natrah tahu Che Aminah adalah ibu angkat, tetapi perhubungan mesranya boleh dirasai seperti ibu dan anak kandung.

Perhubungan itu diragut oleh keluarga kandung Natrah, Hertogh (Syabil Issam) dan Adelaine (Lyka Ardilah). Mereka berdua mahukan Maria (nama sebenar Natrah) kembali ke pangkuan mereka.

Di fasa ini, sentimen tertolak dengan sendirinya. Penonton sudah maklum Natrah menjadi seorang Muslim. Tetapi konflik yang berlaku sangat kuat – seorang ibu yang mahukan anaknya kembali, walau apa cara sekalipun, apa agama sekali pun, perhubungan ibu dan anak tidak boleh terputus.

Di sini kebijakan pengarah dan penulis lakon pentas. Dari titik inilah sudut pandang Natrah bukan lagi dinilai sebagai seorang yang cuba untuk murtad atau keluar dari Islam atau apa-apa isu yang melibatkan agama, tetapi melibatkan hubungan kekeluargaan.

Mana-mana agama akan membawa penganutnya menuju ke syurga. Setiap agama menganjurkan nilai-nilai yang baik kepada setiap penganutnya. Baik agama Kristian mahupun Islam.

Oleh sebab itu, isu Natrah Islam atau Kristian tidak ditonjolkan sangat melalui teater ini. Walaupun ada watak ensembel orang kampung yang beremosi dan melaungkan “Allahuakbar!” berulang-ulang kali, tetapi bagi saya, itu adalah tempelan kepada isu sebenar.

Cerita ditambah lagi dengan watak yang lain. Che Aminah membawa rakannya Mak Wok (Anabella) mengunjungi Natrah di sebuah rumah yang ditempatkan oleh Belanda untuk mengurung Natrah.

Mak Wok pula datang berdua, membawa anak terunanya Mansor Adabi (Ammar Aqashah). Mansor berkenan dan berkenalan dengan Natrah dan akhirnya mereka bercinta dan bernikah. Hidup mereka bahagia sehingga keluarga Hertogh datang untuk mengambil Natrah pulang ke Belanda.

Dua hubungan ini penting. Hubungan Natrah dengan Che Aminah dan hubungan Natrah dengan Mansor. Selain konflik keluarga kandung, satu lagi konflik tercetus dengan karakter Che Aminah dan Mansor.

Cerita Natrah ini bukan terletak atas bahu Natrah. Tetapi cerita yang membawa esak dan tangis penonton ini sebenarnya berada pada bahu Che Aminah dan Mansor.

Kedua-dua watak inilah yang menggerakkan emosi. Sentimen agama telah luput dalam kedua-dua watak ini, yang ada, hanya dimainkan emosi hubungan kekeluargaan.

Dalam kekaguman terhadap pengarahan dan lakonan, saya juga kagum dengan sinografi. Pentas digunakan sepenuhnya oleh pelakon. Penguasaan pentas bukan sahaja dalam ruang pentas, tetapi melibatkan ruang tempat duduk penonton.

Tempat duduk sebelah kiri dan kanan panggung digunakan sebagai ruang perbicaraan mahkamah. Ruang tempat duduk VIP digunakan sebagai meja hakim. Penonton tidak lagi fokus pada set di tengah pentas, tetapi penonton akan turut merasai ketegangan semasa perbicaraan akhir berjalan.

Semasa perbicaraan akhir inilah saya sedikit gusar. Saya risaukan pengarah pengubah atau penulis skrip asal menulis cerita yang berbeza daripada cerita asal. Bagi saya, zeitgeist Natrah turut hadir di akhir penceritaan.

Dalam mana-mana adaptasi dari kisah realiti, pengakhiran bukan lagi persoalan utama, tetapi yang paling penting macam mana pengarah mahu membawa ke pengakhiran itu.

Saya lega apabila mahkamah menetapkan Natrah kini milik Belanda dan keluarga Hertogh. Penonton tidak lagi dapat menahan kolam air mata apabila hakim mengetuk palu di atas meja. Mansor berada di tengah-tengah set dan linangan air matanya berhamburan.

Momentum persembahan ini dapat dilihat dari awal hingga tamat. Kehadiran narator sebagai pembaca buku Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata (UTM, 2010) menjadikan pentas itu bukan milik Natrah, Che Aminah, Mansor atau keluarga Hertogh sahaja, tetapi Natrah adalah milik kita semua.

Pementasan Natrah pada 9 dan 10 Jun 2023 di Panggung Eksperimen, Aswara ini mengingatkan saya satu hal. Sebenarnya kita punyai kisah-kisah sebegini, tetapi mungkin kita kekurangan penulis untuk mengangkat kisah ini ke pentas atau layar lebar.

Saya mengenali Natrah mulanya hanya sekadar nama. Tapi dengan pementasan sebegini, sedikit sebanyak saya lebih mahu mengenalinya.

Begitu juga dengan kisah-kisah yang kita mungkin anggap sebagai eceran atau pojok, mungkin kita boleh fikirkan sesuatu untuk menceritakannya kembali. – 12 Jun, 2023.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen