
PADIBERAS Nasional Bhd (Bernas) bersetuju menambah 150,000 tan metrik beras import bagi memastikan bekalan beras negara tidak terputus.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata penambahan beras import itu diputuskan selepas sesi libat urus antara kementerian dan Bernas minggu lalu yang mendapati permintaan bahan makanan itu di pasaran ketika ini meningkat berbanding tahun lalu.
“Kerajaan sering mengadakan sesi libat urus secara berterusan bersama Bernas bagi memastikan isu berkaitan industri ini dapat ditangani secara pantas dan tuntas.
“Justeru berhubung isu yang diuar-uarkan media Cina mengenai kemungkinan berlaku kekurangan bekalan beras adalah tidak tepat. Situasi yang berlaku ketika ini, peruncit sedang berdepan dengan hasil padi yang kurang dalam negara dan mereka perlukan lebih beras import yang hanya boleh dibawa masuk Bernas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin mengetahui apakah langkah kerajaan untuk memastikan bekalan beras untuk rakyat ketika ini mencukupi.
Ia susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan hari ini menyatakan pemborong beras khuatir kerana masalah kekurangan beras dijangka akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Sementara itu menyentuh mengenai perkongsian keuntungan 30% hasil import beras kepada pesawah padi, Chan berkata perkara itu bukanlah sebahagian daripada 10 obligasi sosial seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi syarikat itu dengan kerajaan.
“Ini adalah satu daripada langkah proaktif Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam rundingannya dengan Bernas untuk memajukan pesawah… kita sambut baik mengenai cadangan untuk memasukkan perkara ini sebagai satu daripada obligasi sosial selepas dimuktamadkan kementerian kelak.
“Kementerian masih dalam proses untuk memuktamadkan mekanisma terperinci bagi pelaksanaan perkongsian keuntungan 30% ini dan akan membuat hebahan kepada orang ramai selepas ia selesai,” katanya. – Bernama, 7 Jun, 2023.
Komen