Malaysia bimbang eksploitasi jenama Musang King


KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyuarakan kebimbangan mengenai pasaran lain yang mengeksploitasi jenama durian Musang King.

Timbalan menterinya Chan Foong Hin mendakwa pembeli durian Thai datang ke Raub untuk membeli durian daripada pokok pada harga lebih tinggi, sebelum dijual ke China sebagai buah segar di bawah label “Thai Musang King”.

Katanya kepada The Star, ini adalah satu percubaan yang mungkin menghalang eksport durian Malaysia berkualiti tinggi ke China pada masa akan datang.

“Ini adalah pasaran bebas, saya tidak menghalang, tetapi saya tidak menggalakkannya,” katanya, sambil menambah kementerian akan membangkitkan isu itu dengan Kedutaan Thailand di Malaysia, terutamanya sama ada pembeli durian Thailand kemudiannya menjual durian Malaysia sebagai “Thai Musang King” di China.

Kita mesti menggunakan saluran perdagangan yang betul untuk mengeksport durian bagi memastikan petani tempatan tidak rugi dalam jangka panjang dan melindungi reputasi dan nama jenama Musang King daripada dieksploitasi oleh pasaran lain,” beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut Chan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan mengumpul data dan kementerian akan berusaha mendapatkan kelulusan untuk mengeksport buah durian segar ke China.

44 kemudahan pemprosesan durian sejuk beku mendapat kelulusan eksport daripada Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China seperti yang didedahkan oleh Jabatan Pertanian.

Sebanyak 41 fasiliti memproses durian dalam bentuk pulpa dan pes.

Di samping itu, 20 fasiliti turut diluluskan untuk mengeksport buah.

Bagi Musang King Gred A, peniaga tempatan kini membayar RM30 sekilogram manakala pembeli Thailand membayar RM34 sekilogram.

Presiden Persatuan Pengeluar Tanaman Raub Nicky Koh berkata pembeli Thailand sanggup membayar harga yang lebih tinggi untuk durian.

Petani melihat ini sebagai satu bentuk meluaskan pasaran mereka.

Koh berkata petani tidak tahu apa yang pembeli Thailand lakukan dengan durian Musang King sebaik sahaja ia dibeli atau sama ada mereka melabelkannya sebagai durian “Thai Musang King”.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penanam Durian Malaysia Dr Tan Sue Sian menjelaskan bahawa isinya secara semula jadi ranum dalam kulitnya, yang bermula sebaik durian jatuh dari pokok.

Proses itu memberi kesan kepada rasa durian, apabila lebih lama ia menghasilkan rasa yang lebih kuat.

Beliau berkata, durian yang dipetik lebih awal boleh mempengaruhi kualiti yang dihantar oleh pengeksport Thailand yang tidak biasa dengan durian Musang King Malaysia. – 3 Jun, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen