5 pemimpin Pakatan ketuai agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan


Ravin Palanisamy

Bekas ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar antara lima pemimpin PH dilantik mengetuai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2023.

LIMA ahli politik Pakatan Harapan (PH), termasuk bekas ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dilantik mengetuai agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Daripada lima pemimpin PH, tiga adalah daripada Amanah, seorang daripada PKR dan seorang DAP.

Mahfuz akan menjadi pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Faiz Fadzil akan mengetuai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Aminuddin Zulkipli akan menerajui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). Ketiga-tiganya dari Amanah.

Dr Azman Ismail dari PKR adalah pengerusi baharu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) manakala Sheikh Umar Bagharib Ali dari DAP akan mengetuai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Penggal jawatan pengerusi baharu akan berkuat kuasa mulai 15 Mei ini.

Dalam satu kenyataan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, yang juga presiden Amanah, berkata kelima-lima mereka dilantik berdasarkan “pengalaman luas” mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan.

“Saya yakin dengan ilmu, kredibiliti dan pengalaman yang mereka miliki untuk menerajui dan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menyokong dan memastikan pembangunan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya hari ini.

Mahfuz sebelum ini memegang jawatan timbalan menteri sumber manusia ketika PH memerintah selama 22 bulan dari 2018 hingga 2020.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir pernah mengetuai LKIM dalam tempoh yang sama.

Aminuddin adalah timbalan Speaker DUN Perak dari 2018 hingga 2020 dan merupakan Adun Behrang.

Azman adalah ahli Parlimen Kuala Kedah dua penggal sebelum dikalahkan oleh calon Perikatan Nasional pada pilihan raya umum tahun lalu.

Sheikh Umar adalah bekas exco Johor ketika Pakatan memimpin negeri itu dari 2018 hingga 2020. – 10 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen