Pekebun Cameron mahu Putrajaya bantu isu tanah dengan Pahang


Ho Chi Yang (keempat dari kiri) mewakili pekebun sayur Cameron Highlands menghantar memorandum kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin. – Gambar The Malaysian Insight, 7 April, 2023.

PEKEBUN sayur Cameron Highlands menggesa kerajaan membantu mereka menyelesaikan isu tanah yang dihadapi dengan kerajaan negeri Pahang.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin dan Senator Hatta Ramli, mereka mendakwa keputusan dibuat kerajaan negeri untuk menaikkan kadar sewa tanah sehingga 500% membebankan mereka.

Kata mereka kerajaan negeri menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) pada tahun 2020 dan menawarkan sewaan tanah.

Di bawah skim TOL ini mereka membayar sekitar RM800 seekar setiap tahun kepada kerajaan negeri namun dengan skim sewaan baharu ini, bayaran meningkat sehinggakepada RM4,500 setiap tahun bagi setiap ekar.

“Peningkatan 500% ini membebankan pekebun sayur,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata Ho Chi Yang dalam satu kenyataan.

Semalam beliau bersama sekumpulan pekebun sayur menghantar 100 kotak sayur untuk kakitangan Parlimen untuk mengetengagkan isu tersebut.

Menurut Ho tempoh sewaan 3+2 tahun terlalu singkat yang sekali gus membuatkan pekebun sayur tidak mahu melabur masa dan wang untuk menaik taraf kaedah penanaman mereka.

Untuk tempoh panjang kata Ho situasi ini akan membantutkan usaha meningkatkan kualiti tanaman negara.

“Ini juga akan menjejaskan rancangan kerajaan untuk meningkatkan keselamatan makanan dan mampu diri,” katanya.

Ho menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memastiakn pemilikan tanah dan mengurangkan kesan negatif yang dibawa oleh peningkatan kos pertanian.

Katanya lagi kerajaan perlu menangani isu-isu lain yang memberi kesan kepada pekebun sayur di seluruh negara.

Ini termasuk harga sayur yang tidak stabil dan harga baja dan racun perosak yang tinggi.

Sementara Pekebun Go Mong Nging berkata mereka juga terjejas dengan corak cuaca yang tidak menentu.

Katanya pada musim hujan, bekalan tanaman akan berkurangan dan harga bakal meningkat namun pekebun juga tidak dapat menuai hasil yang mencukupi.

“Dan apabila cuaca bertambah baik, bekalan meningkat dan harga menurun. Ini bermakna pekebun tidak dapat mencapai tahap pulang modal dan mungkin mengalami kerugian,” kata Go yang juga Pengerusi DAP Bandar Baru Brinchang.

Katanya kerajaan boleh membantu dengan mengurangkan beban pekebun dari segi kos pertanian seperti baja dan benih bagi mengurangkan risiko pekebun terpaksa hadapi selain sebagai galakan kepada pekebun. – 7 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen