Azmin usik Noh lengah masuk Bersatu


Noh Omar adalah ahli Parlimen Umno untuk kerusi Tanjong Karang selama enam penggal hinggalah digugurkan pada pilihan raya umum, November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2023.

BEKAS orang kuat Umno, Noh Omar tidak perlu lagi melengahkan rancangannya untuk menyertai Bersatu, kata Azmin Ali.

Azmin yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor menggesa Noh tidak lagi membuang masa dan masuk menyertai partinya itu.

“Jadi, apa yang ditunggu? Anak dah masuk Bersatu, ayahnya (Noh) tunggu apa lagi?

“Rumah lama (Umno) bukan saja terbakar tetapi dah musnah. Jadi, bolehkah saya umum sekarang? Tidak mengapa, dia ada strategi dia,” kata Azmin ketika berucap pada program kempen PN di Tanjong Karang, Selangor malam tadi.

Noh adalah ahli Parlimen Umno untuk kerusi Tanjong Karang selama enam penggal hinggalah digugurkan pada pilihan raya umum, November lalu.

Beliau disingkirkan daripada Umno pada Januari kerana melanggar perlembagaan parti.

Beliau kemudiannya berkata akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket PN tetapi tidak menyebut parti yang akan disertainya.

Anak perempuannya, Nurul Syazwani menyertai Bersatu baru-baru ini dan dikatakan akan dicalonkan pada PRN akan datang. – 5 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen