Kebebasan Parlimen buka peluang ekonomi untuk rakyat


Fakhrurrazi Rashid

TULISAN saya sebelum ini menyentuh tentang bagaimana Parlimen Malaysia hilang autonominya disebabkan tangan-tangan ghaib yang cuba memaksa parlimen mengikut telunjuk politik mereka. Kelemahan ini menimbulkan krisis sehingga Parlimen tidak mampu berdiri sendiri dan sering menjadi alat yang dipermainkan orang-orang politik yang berkepentingan.

Kita tidak mahu lagi ada perdana menteri yang menutup Parlimen kerana takut bersemuka dengan ujian undi tidak percaya.

Kita tidak mahu kerajaan sekali lagi menukar kakitangan Parlimen sesuka hati dan membelakangi perlembagaan persekutuan.

Jadi, mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen itu menjadi ubat mujarab bagi memperkasa semua Parlimen.

Mengembalikan undang-undang ini bukan sekadar autonomi buat Parlimen, tetapi ia turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam sektor dasar awam dan tadbir urus negara.

Perkara ini rasional memandangkan Parlimen adalah salah satu cabang penting dalam kerajaan selain badan eksekutif dan kehakiman.

Berdasarkan Senarai Perjawatan 2023, parlimen Malaysia hanya mempunyai 368 orang kakitangan, yakni lebih rendah berbanding Jabatan Audit Negara seramai 2,032 orang kakitangan, Kementerian Perpaduan Negara (4,732 orang), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (748 orang).

Boleh dilihat perbezaan ketara kakitangan Parlimen sedangkan ini merupakan institusi terpenting dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara.

Malah, kakitangan Jabatan Perdana Menteri di bawah kawalan perdana menteri mempunyai 21,276 orang kakitangan pada tahun 2023, iaitu 60 kali ganda berbanding kakitangan parlimen Malaysia.

Logikkah seorang perdana menteri boleh ada berpuluh ribu kakitangan tapi kakitangan di Parlimen yang mempunyai hampir 290 ahli Parlimen (termasuk senator Dewan Negara) pula tidak sampai 1,000 orang?

Setakat ini, hanya 19 orang kakitangan yang ada di bahagian penyelidikan dan perpustakaan Parlimen Malaysia untuk menyokong penyelidikan dasar Parlimen dan wakil rakyat.

Malah, kesemua daripada pegawai penyelidikan ini ditugaskan untuk membantu tugas dalam 10 jawatankuasa pilihan khas dan jawatankuasa tetap di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

Parlimen ‘gudang’ pekerjaan

Soalnya, adakah 19 orang kakitangan ini sudah cukup untuk menampung kerja-kerja penyelidikan Parlimen ini?

Situasi ini juga akan memberi kesan kepada kualiti prosiding dan hasil sesuatu kajian dalam sistem jawatankuasa kerana pertindihan tugas daripada pegawai penyelidikan.

Pelaksanaan undang-undang perkhidmatan Parlimen membolehkan parlimen mengambil seberapa banyak kakitangan untuk memastikan fungsi Parlimen berjalan dengan lancar dan berkualiti.

Malah, Parlimen boleh mengambil lebih ramai penyelidik dan tenaga pakar yang boleh membantu kerja-kerja hakiki ahli Parlimen dalam membuat kajian dalam sesuatu isu dasar.

Peluang ini boleh digarap oleh golongan belia dan graduan mencari pekerjaan atau kerjaya berkaitan pembuatan dasar awam yang lebih konstruktif dan hanya berfokus kepada Parlimen.

Dalam erti kata yang lain, Parlimen akan menjadi gudang pekerjaan yang mengumpulkan anak tempatan berkemahiran dan berbakat dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan Parlimen.

Parlimen boleh sahaja menubuhkan badan penyelidikan seperti Parliamentary Budget Office (PBO). Pada tahun 2012, Parlimen Australia telah menubuhkan PBO sebagai satu badan yang akan membuat analisis mengenai dasar ekonomi seperti belanjawan kerajaan, dasar fiskal, dan implikasi kewangan kerajaan untuk ahli Parlimen.

Penubuhan PBO ini adalah sebahagian daripada Akta Perkhidmatan Parlimen 1999 di Australia.

Menariknya, analisis yang dibuat bersifat bebas dan tidak cenderung kepada mana-mana pihak. Malah, ia turut dianggotai oleh tenaga pakar dalam bidang kewangan dan ekonomi sama ada dalam sektor koprat mahupun perkhidmatan awam.

Di bawah Kementerian Kewangan, terdapat satu unti yang dipanggil Pejabat Belanjawan Negara atau National Budget Office (NBO). Fungsinya adalah untuk merancang, mengurus, dan mengawal belanjawan kerajaan. Berdasarkan Buku Senarai Perjawatan 2023, NBO mempunyai 165 orang kakitangan keseluruhannya.

Justeru itu, penubuhan PBO di parlimen Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar kerana di pihak badan eksekutif juga mempunyai NBO.

Malah, pengambilan kakitangan penyelidikan PBO juga boleh sama dengan jumlah kakitangan di dalam NBO supaya ia dapat membuat analisis dasar yang boleh membantu perbahasan dan semakan dasar kerajaan untuk ahli Parlimen.

Mencari keseimbangan

Dari sudut yang berbeza, dengan adanya autonomi, Parlimen Malaysia secara asasnya boleh menambah baik perkhidmatan perundangan untuk membantu ahli Parlimen memahami dan merangka rang undang-undang persendirian dengan bantuan pakar.

Apabila Parlimen mampu mengumpulkan tenaga pakar dan pengamal undang-undang yang berbakat di Parlimen, sudah pasti ia dapat meningkatkan lagi penyertaan ahli Parlimen dalam membahaskan isu-isu teknikal dalam undang-undang dibentangkan kerajaan.

Kaedah ini dapat memecahkan persepsi yang mengatakan hanya menteri-menteri sahaja memahami undang-undang berbanding ahli Parlimen yang mempunyai kekurangan masa dan kepakaran untuk mengkaji undang-undang tersebut secara terperinci.

Sebab itu, penting untuk melihat Akta Perkhidmatan Parlimen dalam perspektif ekonomi yang boleh diterjemahkan dalam bentuk peluang pekerjaan yang setimpal untuk rakyat Malaysia keseluruhannya.

Ini juga kesempatan yang ada untuk Malaysia menghargai bakat-bakat dan tenaga pakar dalam pelbagai bidang penyelidikan untuk membangunkan dasar negara yang lebih baik.

Sebuah Parlimen yang bebas juga akan membentuk satu budaya baharu di Parlimen seperti profesionalisme dan kematangan kerjasama antara ahli Parlimen dan tenaga pakar dalam membahas dan membincangkan isu-isu negara secara konstruktif demi kebaikan rakyat terbanyak.

Fungsi Parlimen sebagai institusi semak dan imbang ke atas kerajaan juga akan berjalan dengan efektif apabila parlimen mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk membantu ahli Parlimen menjalankan tugas hakikinya.

Kebebasan Parlimen bermaksud peluang rakyat untuk berkhidmat kepada institusi ini juga cerah dan semakin bertambah. Ia bukan naratif Parlimen perlu melawan kementerian untuk mendapat peruntukan atau jumlah kakitangan yang besar, tetapi ia soal mewujudkan keseimbangan antara badan perundangan dan eksekutif dalam menjalankan peranan masing-masing berlandaskan keperluan rakyat dan perlembagaan persekutuan.– 3 Jun, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen