Bagaimana parlimen Malaysia hilang kebebasannya?


Fakhrurrazi Rashid

Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini dilihat penting sebelum parti politik bersaingan dalam enam PRN yang dijangkakan berlangsung pada Julai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2023.

MESYUARAT Dewan Rakyat kali ini dilihat penting sebelum parti politik bersaingan dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangkakan berlangsung pada bulan Julai. Sudah pasti, pelbagai citrawarna politik akan mewarnai sidang kali ini sebagai tayangan kepada pengundi di luar sana.

Selain daripada aksi politik, mesyuarat Dewan Rakyat kali ini penting untuk melihat agenda kerajaan perpaduan dalam menambah baik dasar dan tadbir urus negara. Salah satu pembaharuan yang dikhabarkan bakal menjadi tumpuan adalah mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Usaha mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen mula dibahaskan semula pada tahun 2016. Pertukaran kerajaan persekutuan kepada Pakatan Harapan (PH) meletakkan komitmen tinggi bagi mengembalikan undang-undang tersebut dalam bentuk versi yang baharu.

Agenda ini agak sepi setelah berlaku pertukaran kerajaan pada 2020. Sinar kembali cerah dengan pembentukan kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul meletakkan keutamaan kepada agenda mengembalikan akta dalam penggal ini.

Komitmen membentangkan undang-undang ini begitu mustahak bagi mengembalikan maruah dan fungsi parlimen dari sudut perlembagaan persekutuan dan masyarakat. Pengukuhan fungsi parlimen adalah kunci kepada kestabilan politik dan usaha menepis tangan-tangan ghaib yang cuba mempermainkan institusi parlimen demi laba politik yang tidak berperlembagaan.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah memberi autonomi kepada parlimen menjalankan fungsinya dengan bebas dalam aspek pentadbiran, mengambil kakitangan, dan mengawal perbelanjaannya secara kendiri.

Parlimen mangsa percaturan politik

Pemansuhan akta tersebut pada 1992 menghakis peranan parlimen sebagai badan perundangan dalam perlembagaan persekutuan. Parlimen tidak mempunyai kuasa mengurus institusinya dan hanya dilihat seperti sebuah jabatan di bawah penguasaan perdana menteri hingga hari ini.

Kerajaan persekutuan waktu itu menyatakan rasional pemansuhan akta ini untuk memberi peluang kerjaya yang luas buat kakitangan parlimen terutamanya dalam aspek kenaikan pangkat dan penempatan ke jabatan kerajaan yang lain berbanding memberi khdimat sepenuhnya kepada institusi parlimen.

Namun, pemansuhan akta ini lebih terkait dengan isu politik yang berlaku di dalam pengurusan institusi parlimen ketika itu. Pada 1992, pertikaian dalaman berlaku di antara Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail dengan Setiausaha Dewan Rakyat Wan Zahir Sheikh Abdul Rahman yang menjejaskan kelancaran pentadbiran parlimen.

Pertikaian ini sehingga ada gerakan politik di pihak kerajaan untuk melantik setiausaha Dewan Rakyat baharu bagi menggantikan Wan Zahir. Namun, perkara ini sukar berlaku kerana perlembagaan persekutuan Perkara 65(3) ketika itu menjamin kedudukan setiausaha Dewan Rakyat dan hanya boleh dipecat seperti seorang hakim Mahkamah Agung melalui tribunal.

Ternyata, pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen ketika itu berkait rapat dengan situasi politik semasa di dalam parlimen. Selepas pemansuhan akta tersebut, kerajaan persekutuan mempunyai kuasa melantik dan menggantikan setiausaha Dewan Rakyat dan setiausaha Dewan Negara jika individu tersebut boleh menggugat kelancaran parlimen dan kedudukan kerajaan.

Pada 2020, berlaku juga kontroversi yang melibatkan kedudukan setiausaha Dewan Rakyat dan kerajaan persekutuan. Ridhuan Rahmat, setiausaha Dewan Rakyat ditukarkan ke jawatan setiausaha Bahagian Pengurusan Dewan Negara tanpa pengetahuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof.

Pertukaran ini didakwa berpunca daripada tindakan beliau menerima usul undi tidak percaya dikemukakan beberapa wakil rakyat ke atas Muhyiddin Yassin yang ketika itu berhadapan dengan soal keabsahan kerajaan di parlimen sebagai perdana menteri.

Situasi ini menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya akan ketinggian parlimen dalam menjalankan peranannya.

Malah, selepas kontroversi pertukaran setiausaha Dewan Rakyat, kerajaan Muhyiddin mengambil keputusan untuk menukar Ariff dan digantikan dengan Azizan Harun pada 13 Jun, 2020 tanpa sebarang hujah yang kukuh.

Parlimen hanya “jabatan”?

Kedudukan parlimen kian terjejas setelah kerajaan Barisan Nasional pada 2005 mewujudkan portfolio menteri menjaga urusan hal ehwal parlimen bagi memastikan Nazri Aziz mempunyai peranan dalam Kabinet Tun Abdullah Badawi. Insiden ini menjadi sebab parlimen Malaysia hanya bertaraf sebuah “jabatan” di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Jawatan Ketua Pentadbir parlimen diperkenalkan selepas itu untuk mengurus hal ehwal parlimen dan peruntukan kewangan. Ironinya, ketua pentadbir parlimen mempunyai tanggungjawab kepada menteri menjaga hal ehwal parlimen berbanding Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Peranan ketua pentadbir ini sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran pentadbiran parlimen yang seharusnya bebas daripada kawalan banda eksekutif. Ia turut memperlihatkan pertindihan fungsi ketua pentadbir dengan setiausaha Dewan Rakyat dan setiausaha Dewan Negara yang sepatutnya menguruskan hal ehwal parlimen secara asasnya, seperti dijamin perlembagaan persekutuan sebelum pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Jelas hujah kerajaan persekutuan pada 1992 memansuhkan undang-undang perkhidmatan parlimen membawa mudarat kepada badan perundangan negara. Badan eksekutif dan perdana menteri akan menggunakan kelebihan ini untuk menekan fungsi parlimen sekiranya ia bercanggah dengan pendirian kerajaan.

Kesempatan ini harus diambil kerajaan perpaduan dan ahli parlimen untuk membetulkan perkara yang telah menjejaskan institusi politik negara secara konsensus. Pembentangan undang-undang perkhidmatan parlimen bukan sekadar memberi autonomi penuh kepada badan perundangan, malah ia akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat kebanyakan yang selama ini agak janggal untuk mendekatkan diri dengan institusi parlimen.

Apakah kebaikan undang-undang ini kepada rakyat? Bagaimana ia boleh menjernihkan suasana politik dalam era Malaysia memasuki fasa persaingan politik yang sengit?

Persoalan ini akan saya kupas dalam tulisan seterusnya tentang manfaat akta ini kepada rakyat dan negara. – 24 Mei, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen