ENAM stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Ampang-Sri Petaling, yang ditutup sejak 2 April, akan beroperasi semula esok, kata Rapid Rail Sdn Bhd.
Pengendali tren berkata operasi tren di stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dibuka semula kepada penumpang bermula jam 6 pagi.
“Ini adalah susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya telah selesai.
“Tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren - tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini,” kata Rapi Rail dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi perkhidmatan LRT di enam stesen yang dinyatakan ini telah diberhentikan sejak 2 April 2023. Ini adalah kerana tren-tren yang beroperasi tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
Faktor kegagalan ini adalah disebabkan oleh tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari 2023, tambahnya.
Serentak dengan pembukaan stesen-stesen tersebut, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 akan ditamatkan.
Rapid Rail juga berkata kerja-kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober 2023.
Menurutnya operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal.
“Jangkaan ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa yang terlibat,” katanya.
Bagi melancarkan perjalanan penumpang, Rapid Rail akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan.
“Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 buah bas dengan kekerapan setiap 10 minit,” katanya.
Laluan rel alternatif turut dicadangkan kepada penumpang yang menuju ke stesen Hang Tuah, dengan Rapid Rail mencadangkan penggunaan Monorel dan MRT.
Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan melayari laman sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini. – 11 Mei, 2023.
Komen