LAPAN mangsa nahas yang terlibat dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pada 2021 menfailkan saman terhadap Rapid Rail dan Prasarana kerana cuai sehingga menyebabkan mereka cedera, lapor The Vibes.
Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.
Plaintif berkata mereka adalah penumpang dalam tren yang bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji secara kawalan manual antara stesen KLCC dan Kampung Baru pada 24 Mei 2021.
Seramai 213 penumpang cedera dalam nahas tersebut.
“Kemalangan LRT yang dialami semua plaintif berpunca daripada kecuaian kedua-dua defendan.
“Kecuaian kedua-dua defendan mengakibatkan kecederaan fizikal dan kerugian lain kepada semua plaintif,” menurut pernyataan tuntutan saman itu, lapor The Vibes.
Palintif juga berkata Rapid Rail dan Prasarana gagal memastikan keselamatan penumpang ketika berada di dalam tren.
Mereka selain itu merujuk reaksi tidak wajar pengerusi Prasarana ketika itu, Tajuddin Abdul Rahman semasa sidang media sehari selepas kemalangan tersebut.
“Tajuddin membuat jenaka semasa sidang media dengan mengatakan kereta api itu ‘berciuman antara satu sama lain’.
“Pada sidang media sama, Tajuddin dilihat ketawa semasa siaran langsung,” kata plaintif. – 27 Mac 2023.
Komen