TERPULANG kepada bekas veteran Umno Noh Omar jika beliau mahu menyertai Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi PN Selangor Mohamad Azmin Ali.
Azmin berkata PN dan Bersatu terbuka kepada mana-mana individu yang mahu menyertai mereka.
“Noh berpengalaman. Beliau adalah salah seorang pemimpin yang cukup berani menyuarakan isu yang berlaku dalam Umno dan Barisan Nasional.
“Apa tindakan beliau seterusnya, kami serahkan kepadanya. Kami bersedia untuk menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai PN,” kata Azmin pada rumah terbuka Hari Raya Gombak Setia, hari ini.
Pada Januari, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi mengumumkan penyingkiran Noh dan bekas Ketua Pemuda Khairy Jalamudidn kerana melanggar perlembagaan parti.
Sebelum ini dilaporkan yang Noh yang juga bekas pengerusi jawatankuasa perhubungan Umno Selangor mengesahkan yang beliau akan bertanding di PRN Selangor menggunakan tiket PN.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan parti yang akan disertainya atau jika beliau bertanding secara terus di bawah keahlian PN.
Pada 29 April lepas, Utusan Malaysia melaporkan yang anak perempuan Noh, Nurul Syazwani Noh dijangka bertanding sebagai calon Bersatu pada PRN Selangor.
Beliau dijangka bertanding di salah satu DUN di bawah Parlimen Tanjong Karang, kata sumber dipetik laporan itu.
“Ya namanya ada dalam senarai, tetapi biar kepimpinan pusat umumkan sendiri,” kata sumber itu.
Nurul menyertai Bersatu selepas ayahnya dipecat dari Umno pada Januari. Beliau kini adalah Ketua Srikandi Tanjong Karang.
Noh adalah antara veteran Umno yang tidak dicalonkan pada pilihan raya umum lepas.
Bekas menteri itu yang memegang kerusi Tanjong Karang sejak 1995, mendakwa namanya digugurkan kerana mengkritik beberapa keputusan politik dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Pada Januari, MKT Umno menggantung keahlian Noh selama enam bulan sebelum dipecat parti atas permintaannya sendiri. – 6 Mei, 2023.
Komen