Azmin Ali dan gerombolan paling tadah pertahan kerusi masing-masing


Kalidevi Mogan Kumarappa

AZMIN Ali akan mempertahankan Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), umum Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, sekali gus menamatkan spekulasi bekas timbalan presiden PKR itu akan dicalonkan di tempat lain.

Selain Azmin, beberapa lagi pemimpin Bersatu yang keluar Umno selepas PRU 2018 juga akan kekal bertanding di kawasan masing-masing.

Antara mereka ialah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang akan mempertahankan Larut, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Timbalan Menteri Luar Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak), Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Mansor Othman (Nibong Tebal) dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat).

Seperti dijangka, Muhyiddin akan mempertahankan kerusi Pagoh manakala Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu akan mempertahankan Tambun, yang bertembung dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tambah Muhyiddin, rundingan kerusi antara komponen telah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Semua rundingan kerusi kami selesai. Tidak ada pergaduhan,” katanya.

Muhyiddin berkata di peringkat persekutuan, Bersatu akan bertanding di 74 kerusi, PAS (64), Gerakan (20), dan parti bersekutu lain (11).

Katanya senarai calon PN untuk Kelantan dan Terengganu akan diumumkan pada Rabu.

Dalam pada itu beliau mengesahkan PN akan menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi PN itu mengesahkan laporan The Malaysian Insight pagi ini yang gabungan itu akan bertanding di 168 kerusi parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 19 November, hari penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. – 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen