Perikatan tanding 168 kerusi, kata sumber


Noor Azam Shairi

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman senarai calonnya yang akan bertanding pada PRU15 malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight 1 November, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding semua kerusi Parlimen di Semenanjung serta tiga kerusi di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang senarai calonnya akan diumumkan pada malam ini, kata sumber parti.

Pengumuman akan dibuat oleh pengerusi PN Muhyiddin Yassin di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, 8 malam ini.

Majlis pengumuman calon PN kebetulan berjalan serentak dengan majlis sama bagi Barisan Nasional (BN) yang akan berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

“Kita sudah muktamadkan pembahagian kerusi (minggu lepas). Selesai. PN akan tanding 168 kerusi, termasuk tiga di Sarawak,” kata sumber gabungan yang maklum mengenai proses rundingan kerusi.

The Malaysian Insight juga difahamkan Bersatu diberi tanggungjawab bertanding 85 kerusi, PAS 63, dan Gerakan 20.

“Ada sebahagian kerusi Bersatu melibatkan calon bukan Melayu daripada sayap bersekutu,” tambah sumber.

Minggu lalu, Muhyiddin memberitahu wartawan pembahagian kerusi antara parti dalam PN serta pelantikan calon gabungan itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dimuktamadkan pada 27 Oktober.

Beliau juga berkata PN hanya bertanding lebih kurang 75% daripada 222 kerusi Parlimen.

Sejak minggu lalu, Muhyiddin juga sudah mengumumkan beberapa calon gabungan itu antaranya tiga bekas menteri iaitu Radzi Jidin (Putrajaya), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan malam tadi, Rina Harun (Sepang).

Radzi Jidin merupakan salah seorang calon Perikatan Nasional yang akan bertanding di Putrajaya pada PRU15 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight 1 November, 2022.

Sarawak

Dalam pada itu menurut sumber tiga kerusi di Sarawak yang akan PN tandingi ialah Saratok dan Bintulu dengan calon dari Bersatu, sementara Batang Lupar akan ditandingi oleh PAS.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan penyandang Saratok Ali Biju akan mempertahankan kerusi majoriti Iban itu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2018 sebagai calon Pakatan Harapan.

Ketua Bersatu Bintulu Duke Janteng juga baru-baru menyatakan kesediaan jika diberi peluang bertanding mewakili PN, lapor media di Sarawak.

Keputusan bertanding di Saratok dan Bintulu khususnya akan menyebabkan PN bertembung dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) pimpinan Tiong King Sing yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Dua kerusi itu selama ini ditandingi oleh PDP. Tiong juga penyandang kerusi Parlimen Bintulu.

PDP juga pernah menawarkan Ali menyertai mereka dan bertanding atas tiket GPS namun beliau menolak, lapor media.

PAS Sarawak pula sebelum ini mengumumkan mahu bertanding lima kerusi pada PRU15 iaitu Petra Jaya, Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, dan Sibuti.

“PAS akan tanding Batang Lupar,” kata sumber.

Batang Lupar merupakan kerusi majoriti Bumiputera Muslim yang merupakan hampir 70% pengundi. Satu daripada tiga kerusi negeri bawahnya iaitu Beting Maro dianggap kubu kuat PAS di Sarawak.

Penyandang Saratok Ali Biju akan mempertahankan kerusi majoriti Iban itu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2018 sebagai calon Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight 1 November, 2022.

Sabah

Sementara itu, senarai kerusi yang akan diumum malam ini tidak termasuk 25 kerusi Parlimen di Sabah yang akan ditandingi sebahagiannya oleh komponen PN di negeri itu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain Bersatu, SAPP dan Star daripada PN, GRS juga dianggotai PBS dan Usno.

Semasa lawatannya ke Kota Kinabalu pada 12 Oktober Muhyiddin berkata kemenangan Bersatu di Sabah nanti adalah kerusi PN kerana ia sebahagian daripada gabungan itu di Semenanjung.

“Itu persefahaman yang sudah dicapai, tiada isu atau masalah dalam soal itu,” katanya sambil memperakui kerjasama politik yang unik di Sabah berbanding di peringkat persekutuan.

PN juga mencapai kata sepakat untuk memakai simbol gabungan itu di seluruh Semenanjung kecuali di Kelantan dan Terengganu yang akan menggunakan lambang PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon 5 November ini dengan tempoh kempen 14 hari. 

Hampir 21.1 juta pengundi termasuk 7.8 juta pengundi baharu akan memilih pada 19 November. – 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen