SELEPAS menang besar di Mahkamah Persekutuan, penghuni di rumah panjang Taman Rimba Kiara (TRK) di Kuala Lumpur akhirnya mempunyai harapan untuk memiliki rumah kekal.
Penduduk yang sudah 42 tahun mendiami rumah kayu itu berharap mendapat 200 unit rumah untuk dibina di atas tapak seluas 1.6 hektar yang mereka duduki sekarang.
Bagi meredakan sebarang kekeliruan mengenai jenis perumahan yang diingini oleh penduduk, mereka sedia maklum rumah bandar (townhouse) akan dibina untuk 98 keluarga di sana.
Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Panjang TRK M Sivakumar berkata pihaknya meminta 200 unit untuk menampung keperluan keluarga besar di situ.
Beliau berkata selepas menang kes mahkamah, mereka perlu meneruskan dan merancang untuk projek perumahan itu.
“Pada 30 April, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh datang untuk sesi dialog dengan 90% penduduk hadir.
“Beliau menjelaskan hartanah akan dibina untuk penduduk.
“Yeoh berkata ada penduduk yang meminta rumah bandar, rumah teres dan rumah pangsa. Setiap orang mempunyai pandangan sendiri.
“Tetapi kini kesemua bersetuju agar rumah bandar dibina,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sebelum ini dilaporkan Yeoh berkata penduduk mesti membuat keputusan sebulat suara apa yang mereka mahu jika ingin berpindah ke perumahan baharu.
“Pelan asal untuk perumahan adalah memberi satu unit untuk keluarga sekarang dan satu bagi generasi seterusnya.
“Saya akan bertemu perdana menteri kita tidak lama lagi dan mahu anda semua hadir sebagai satu suara, bercakap perkara yang sama.
“Sekiranya empat hingga lima atau 10 orang mengatakan perkara yang berbeza, sukar bagi saya untuk menjalankan tugas,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sivakumar berkata terdapat rumah yang mempunyai lebih daripada satu keluarga yang berkembang sepanjang tempoh itu.
“Mereka (pihak berkuasa) kata akan beri satu rumah dan rumah kedua kami perlu beli dengan harga RM175,000.
“Kami ada kira-kira enam hingga tujuh orang tinggal dalam satu rumah. Saya mempunyai dua abang dan seorang kakak, jadi mereka kini menyewa di kawasan lain.
“Isunya ialah kami tidak fikir penduduk di sini mampu mendapat pinjaman bank (untuk rumah kedua). Oleh itu, kami meminta dua rumah bagi setiap keluarga.”
Beliau berkata situasi yang mereka hadapi ketika ini ialah rumah itu tidak boleh memuatkan semua penghuni.
“Itu sebab kami minta unit tambahan. Jadi, semua adik-beradik boleh tinggal bersama. Sebab itu kami minta dua unit.”
Beliau berkata bagi menyelesaikan isu perumahan, mereka akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama Yeoh dan persatuan penduduk TTDI.
“Berdasarkan pemahaman kami, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meneliti isu perumahan. Kami percaya kerajaan pusat akan membiayai projek itu.
“Jadi, kita serahkan kepada Yeoh untuk meneliti isu perumahan dengan kerajaan.”
Ingin pindah rumah baharu pada 2026
Sivakumar berkata memandangkan kes mahkamah sudah selesai, pada penghujung tahun ini mereka menjangka dapat menangani semua isu pentadbiran (untuk mendapatkan rumah) mengenai hak milik tanah dan berapa banyak rumah yang bakal diperoleh penduduk.
“Sekiranya kami dapat menyelesaikan semua isu pentadbiran menjelang akhir tahun, kami menjangkakan ia akan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membina rumah.
“Kami berharap dapat ditempatkan semula di sini pada 2026. Kami serahkan kepada beliau (Yeoh).”
Pada 18 April lalu, DBKL gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan supaya cadangan projek Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail dibenarkan semula.
Mahkamah tertinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, yang membatalkan perintah pembangunan pada 27 April 2021.
DBKL, Yayasan Wilayah Persekutuan dan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd, sebelum ini memohon agar perintah pembangunan itu dikembalikan semula.
Penduduk TTDI sebelum ini berkata projek itu akan memusnahkan 10 hektar daripada beberapa kawasan hijau terakhir yang tinggal di Kuala Lumpur.
Penduduk berkata serentak dengan keputusan mahkamah, mereka mahu Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu dilantik Kamarulzaman Mat Salleh dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meneliti isu yang mereka bangkitkan sebelum ini.
Mereka berkata ini termasuk perumahan kekal untuk keluarga rumah panjang. – 6 Mei, 2023.
Komen