HANNAH Yeoh hari ini mengadu bahawa menteri Wilayah Persekutuan terlalu sibuk dengan perbalahan dengan Umno dan Bersatu sehingga tidak mempunyai masa untuk berjumpa dengan ahli Parlimen Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata bahawa ahli Parlimen pembangkang belum mendapat jawapan daripada Annuar Musa berkenaaan surat mereka pada 7 Disember untuk mengadakan pertemuan.
“Sudah hampir 4 bulan dan sehingga sekarang tiada sebarang tarikh temujanji yang diberikan oleh menteri kepada kami.
“Saya berharap beliau akan segera memberikan tarikh perjumpaan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur dan memanfaatkan kuasa yang diperolehi untuk kebaikan rakyat dan tidak hanya sibuk dengan perbalahan Umno-Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata surat bertarikh 16 Februari yang meminta menteri itu untuk bertemu dengan penduduk Taman Tun Dr Ismail bagi membincangkan kes Taman Rimba Kiara masih belum berjawab.
“Keputusan Mahkamah Rayuan telah berpihak kepada penduduk tetapi yang menghairankan ialah apabila DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran beliau masih terus mengemukakan rayuan kes tersebut ke mahkamah.
“Surat kami tidak dijawab, tarikh mesyuarat tidak diberikan dan Parlimen juga tidak bersidang.
“Apakah cara lain untuk mengutarakan isu kepada Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya.
Pada 6 Februari, Persatuan Penduduk TTDI mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk tidak merayu keputusan mahkamah bagi membatalkan perintah pembangunan DBKL untuk kondominium di Taman Rimba Kiara.
Persatuan penduduk berkata kedua-dua pihak harus mematuhi kenyataan mahkamah rayuan pada 27 Januari.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim sebulat suara memutuskan bahawa perintah pembangunan yang dikeluarkan pada tahun 2017 kepada Yayasan Wilayah Persekutuan dan pemaju Memang Perkasa untuk projek Taman Rimba Kiara adalah terbatal. – 1 April, 2021.
Komen