KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tiga lagi berhubung projek kontroversi di Taman Rimba Kiara mencetus satu ketetapan baharu yang mana pihak berkuasa tempatan tidak boleh lagi sewenang-wenangnya melaksanakan projek yang menjejaskan penduduk, kata Lim Lip Eng.
Ahli Parlimen Kepong itu berkata, implikasi jangka panjang keputusan itu adalah pihak berkuasa tempatan mesti berhati-hati dalam mempertimbangkan projek yang boleh memberi kesan negatif kepada penduduk di sesuatu kawasan.
Beliau berkata keputusan semalam menetapkan “hala tuju baharu bagi tindakan masa depan oleh pihak berkuasa tempatan.”
“Satu duluan bagi kes mahkamah masa depan yang membabitkan kerajaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan sebagai menjawab rayuan DBKL yang gagal untuk memulihkan cadangan projek pembangunan Taman Rimba Kiara.
Panel tiga anggota mahkamah tertinggi, terdiri daripada Hakim Besar Malaya Zabidin Diah dan hakim Nallini Pathmanathan dan Rhodzariah Bujang, sebulat suara dalam keputusan mereka bahawa tiada merit dalam rayuan itu.
Bagi mengelakkan kekusutan undang-undang yang sama pada masa depan, Lim berkata kerajaan tempatan dinasihatkan untuk melalui proses wajar dengan mendapatkan pandangan orang ramai “yang mempunyai kepentingan sebenar dalam kawasan kejiranan mereka supaya mereka boleh mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan sebelum sebarang perintah pembangunan tanah boleh diberikan.”
Lim berkata cabaran undang-undang DBKL juga boleh dipersoalkan.
“Seseorang mungkin mempersoalkan jumlah perbelanjaan guaman yang perlu ditanggung DBKL dan akhirnya pembayar cukai Kuala Lumpur, akibat keputusan DBKL untuk menentang hasrat penduduk Taman Tun Dr Ismail dan meneruskan kes ke mahkamah tertinggi sebelum kalah.” – 19 April, 2023.
Komen