Ahli Parlimen Kepong kumpul RM2.25 juta bayar saman fitnah


Alfian Z.M. Tahir

Minggu lalu Lim Lip Eng kalah dalam saman fitnah yang difailkan oleh ahli perniagaan Jessy Lai dan syarikatnya, MonSpace, pada 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac 2023.

LIM Lip Eng berjaya mengumpulkan lebih RM2 juta untuk membayar ganti rugi kepada pengasas firma e-dagang selepas ahli Parlimen DAP itu bertanggungjawab kerana memfitnah. 

Dalam catatan Facebook, ahli Parlimen Kepong itu mengucapkan terima kasih kepada penderma atas sokongan mereka, sambil menambah wang itu akan diaudit.

“Kita sudah mencecah RM2.25 juta. Tolong jangan menderma lagi. Saya amat berterima kasih kerana menyokong keadilan dan berdiri bersama saya,” kata Lim.

“Wang yang dikumpul akan diaudit oleh juruaudit berlesen untuk memastikan ‘ketelusan dan akauntabiliti’,” tambahnya.

Minggu lalu Lim kalah dalam saman fitnah yang difailkan oleh ahli perniagaan Jessy Lai dan syarikatnya, MonSpace (M) Sdn Bhd, pada 2017.

Lim melancarkan kempen kutipan dana keesokan harinya, berkata beliau akan diisytiharkan muflis dan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika tidak dapat membayar ganti rugi.

Lai berkata kenyataan Lim yang mendakwa beliau menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China mencemarkan reputasi dirinya dan syarikat.

Hakim Akhtar Tahir berkata Lim melangkaui tugasnya sebagai ahli Parlimen dalam membuat tuduhan itu.

Lim diperintahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM500,000 kepada Lai dan RM1 juta kepada MonSpace. Beliau juga diperintahkan membayar RM500,000 lagi sebagai ganti rugi teruk. – 20 Mac 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen