Lip Eng gesa Putrajaya segera tubuh IPCMC


Alfian Z.M. Tahir

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu ditubuhkan segera, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2023.

LIM Lip Eng menggesa Kerajaan Perpaduan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), 19 tahun selepas ia pertama kali dicadangkan.

Lim berkata sejak dua dekad lepas, terlalu banyak kes menyaksikan pihak berkuasa melakukan kesalahan tetapi hanya dikenakan hukuman ringan.

“Saya menggesa Kerajaan Perpaduan menubuhkan IPCMC sejak ia mula dicadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hampir 19 tahun lalu.

“Kuasa IPCMC perlu diperluas kepada semua agensi penguatkuasaan bagi menerapkan displin dalam pasukan ini,” kata ahli Parlimen Kepong itu.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kes terbaru apabila tiga lelaki ditahan di Pulau Pinang kerana merakamkan serbuan polis.

Lim berkata tiga lelaki yang ditahan itu boleh memulakan saman sivil terhadap polis, tetapi sekiranya polis kalah dalam kes itu, kerajaan yang perlu membayar pampasan kepada mangsa.

“Sementara pegawai polis (yang terlibat) dilepaskan atau mungkin dipindah tugas ke pejabat,” tambahnya.

Kata Lim lagi, pihak berkuasa terutama polis perlu menerima keputusan kerajaan untuk menubuhkan IPCMC dan memakai kamera badan bagi menghalang kejadian sama berulang dan disalah faham pelbagai pihak.

Bagaimanapun, bekas ketua polis negara Musa Hassan dan beberapa peguam kanan memberitahu yang tiada ada undang-undang yang menghalang sesiapa daripada merakam serbuan pihak berkuasa termasuk polis.

“Jika tidak ada undang-undang (merakam serbuan pihak berkuasa), mengapa perlu tahan orang?

“Di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, kita tidak boleh sekat kebebasan mereka. Kecualilah ada undang-undang yang membenarkan kita berbuat demikian,” katanya.

Musa yang merupakan ketua polis pada 2006 hingga 2010 berkata polis perlu menjelaskan segera mengapa rakaman serbuan tidak dibenarkan dan penguatkuasaan pemakaian kamera badan. – 5 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen