Penantian Indira Gandhi bertemu anak belum berakhir


Ravin Palanisamy

Penantian 14 tahun M. Indira Gandhi untuk bertemu anak perempuannya yang hilang, Prasana Diksa masih tidak berkesudahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2023.

TAHUN demi tahun berlalu namun penantian ibu tunggal M. Indira Gandhi untuk bertemu anak perempuannya yang hilang, Prasana Diksa masih tidak berkesudahan. 

Prasana sepatutnya berusia 15 tahun pada 8 April tetapi remaja itu diambil daripada ibunya ketika masih bayi oleh bapanya K. Padmanathan yang memeluk Islam dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan Abdullah. 

Kini sudah 14 tahun Indira tidak berjumpa dengan anak perempuannya malah dia juga tidak tahu bagaimana raut wajah anaknya, yang disifatkannya sebagai penderitaan yang paling teruk. 

“Anak perempuan saya akan berusia 15 tahun, seorang remaja, tetapi satu-satunya imej yang saya ada tentang dia adalah ketika dia masih kecil. 

“Saya tidak tahu bagaimana rupa dia, bagaimana dia, adakah dia belajar… tiada apa-apa. Bagi seorang ibu, tidak tahu tentang semua ini adalah kesakitan terbesar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Indira berkata setiap tahun dia berdepan penderitaan yang sama. 

Katanya dia tidak peduli apa kepercayaan dan agama yang diamalkan oleh Prasana sekarang. 

Apa yang dia mahukan ialah maklumat keadan anak perempuannya sekarang. 

“Anak perempuan saya tidak ada bersama saya, walaupun semua keputusan (mahkamah) mengatakan dia harus bersama saya. 

“Setiap tahun, saya akan disoal oleh media dan saya juga memberikan jawapan yang sama berulang kali kerana tiada apa yang berubah. 

“Tidak kira sama ada dia beragama Islam atau apa, jika saya bertemu dengannya dan dapat bersamanya, sekurang-kurangnya saya tahu dia sihat dan selamat. Sekarang tiada maklumat mengenainya,” katanya.

Indira, seorang guru sudah berjuang selama 14 tahun untuk bertemu semula dengan anak perempuannya, yang diambil oleh bekas suaminya ketika remaja itu berusia 11 bulan. 

Bekas suaminya mengislamkan Prasana dan dua kakaknya tanpa pengetahuan Indira. 

Pada 2018 Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama unilateral anak-anak Indira. 

Indira kini mencari Riduan dan menunggu agar Prasana dikembalikan kepadanya seperti yang diarahkan oleh mahkamah. 

Riduan kini menjadi buruan kerana melanggar perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 untuk mengembalikan Prasana, membawa kepada writ mandamus oleh mahkamah memaksa ketua polis negara (KPN) menangkapnya. – 3 Mei, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen