Saya akan tunggu Prasana hingga nafas terakhir, kata Indira Gandhi


Ravin Palanisamy

Prasana Diksa dilarikan oleh bekas suami M Indira Gandhi sejak remaja perempuan itu berusia 11 bulan pada 2009. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.

HARI ini genap 14 tahun usia Prasana Diksa yang dilarikan daripada ibunya M. Indira Gandhi sejak remaja perempuan itu masih bayi.

Di Facebook hari ini, Indira menitipkan doa supaya Prasana sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan berharap mereka dapat bersatu semula.

“Pada tarikh ini setiap tahun, air mata saya mengalir. Hari ini hari lahir Prasana Diksa yang ke-14. 

“Harapan saya semoga dia dilimpahi rahmat dan kebahagiaan. Anak perempuan saya tentu sudah menjadi anak gadis yang cantik sekarang. Kalaulah saya dapat melihat wajahnya. Tak pernah sekali pun saya berpeluang menyambut hari lahirnya,” tulisnya.

Sejak 13 tahun lalu guru tadika itu berjuang untuk mendapatkan Prasana semula selepas bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah melarikan anak mereka yang ketika itu berusia 11 bulan.

Riduan kemudian menukar agama Prasana serta abang dan kakaknya tanpa pengetahuan dan keizinan Indira.

“Saya teringin belikan hadiah untuk Prasana, apa sahaja yang dia suka. Terlalu banyak yang ingin saya ceritakan kepadanya. Kalaulah dia tahu yang kami sangat sayangkan dia. Kakaknya Tevi Darsiny dan abangnya Karan Dinish sudah tentu akan buat kejutan sambutan hari lahir.

“Perit rasanya mengucapkan hari lahir dengan cara ini. Saya harap jika ada sesiapa yang mengenali Prasana, tolong sampaikan ucapan saya kepadanya.

“Tolong beritahu dia, saya akan tunggu hingga nafas yang terakhir,” tulis Indira.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira kepada Islam terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang. Mahkamah memutuskan persetujuan kedua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak.

Ridhuan menukarkan agama tiga kanak-kanak berkenaan pada April 2009 tanpa keizinan Indira selepas memeluk Islam.

Indira kini masih menunggu polis untuk mengesan Riduan dan Prasana dipulangkan semula kepadanya, seperti yang diarahkan mahkamah.

Riduan kini diburu polis kerana melanggar arahan Mahkamah Tinggi Perak pada 2014 supaya memulangkan Prasana, menyebabkan writ dikeluarkan mahkamah bagi memastikan ketua polis negara (KPN) menggerakkan usaha menangkapnya.

Selepas enam KPN silih berganti, masih belum ada petunjuk di mana Riduan dan Prasana berada.

Pengarah CID Abdul Jalil Hassan dalam taklimat ringkas bulan lepas berkata mereka yang terlibat dalam kes itu masih sedang dikesan, menambah yang polis akan mengeluarkan perkembangan terkini kes itu. – 8 April, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen