Indira Gandhi menaruh harapan kepada kerajaan baharu


Ravin Palanisamy

M Indira Gandhi berharap pentadbiran baharu yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menamatkan penantiannya selama 13 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2022.

KERAJAAN baharu membawa harapan baharu. Itulah yang memberi keyakinan kepada ibu tunggal M Indira Gandhi bahawa beliau akhirnya akan bertemu semula dengan anak perempuannya, Prasana Diksa.

Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelima yang dilantik sejak kali terakhir Indira melihat Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan pada 2010.

Indira berharap pentadbiran baharu yang diterajui Anwar akan menamatkan penantiannya yang kini berlarutan selama 13 tahun.

“Saya benar-benar menaruh harapan tinggi dengan kerajaan baharu ini.

“Saya harap Perdana Menteri Anwar lebih sensitif tentang isu ini kerana ini bukan sesuatu yang baharu. Kes ini sudah berlarutan selama bertahun-tahun. Saya harap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian dan menamatkan perkara ini segera,” kata ibu kepada tiga anak itu kepada The Malaysian Insight.

Indira berjuang selama 13 tahun untuk bertemu semula dengan anak perempuannya, yang dilarikan oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

Riduan mengislamkan Prasana dan dua lagi anaknya tanpa pengetahuan Indira.

Pada 2018, dalam keputusan penting, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama unilateral anak Indira - Prasana dan dua adik-beradik yang lebih tua.

Mahkamah tertinggi mengekalkan pembatalan penukaran agama oleh seorang ibu bapa dan mengesahkan hak penjagaan kepada ibu.

Lokasi Riduan dan Prasana tidak diketahui.

Indira kini menunggu Riduan ditemui dan Prasana dikembalikan kepadanya seperti diarahkan oleh mahkamah.

Riduan kini menjadi buruan kerana melanggar perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 untuk mengembalikan Prasana, yang membawa kepada writ mandamus oleh mahkamah yang memaksa ketua polis negara menangkapnya.

Indira menegaskan kerajaan tidak seharusnya melihat ini sebagai kes perkauman atau agama tetapi sebagai isu kasih sayang ibu.

Indira, yang kini bekerja sebagai tutor di rumah berkata perasaan berpisah dengan anak perempuannya, tanpa mengetahui sebarang maklumat tentang kesejahteraannya, tidak tertanggung.

“Saya hanya mahu melihat anak perempuan saya dan tahu keadaannya. Saya hanya mahu kesejahteraan anak perempuan saya dijaga. Itu sudah membuatkan saya cukup gembira.

“Saya rasa kita ada perdana menteri yang sangat bertimbang rasa sekarang. Jadi, saya harap beliau faham apa yang saya lalui.

“Kita tahu beliua (Anwar) juga pernah berpisah dengan keluarga pada satu ketika dalam hidupnya.

“Jadi, saya harap beliau memahami perasaan seorang ibu yang terpisah dengan anak perempuannya selama bertahun-tahun, tanpa berjumpa atau mengetahui sebarang berita tentangnya,” katanya merujuk kepada tempoh Anwar berada di dalam penjara.

Enam KPN mengendalikan kes itu tetapi tiada seorang pun yang berjaya menemui Prasana dan Riduan.

Awal tahun ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan (JSJ) Abdul Jalil Hassan dalam kemas kini ringkas berkata mereka yang terlibat dalam kes itu masih sedang dikesan, sambil menambah polis akan mengeluarkan maklumat mengenai perkembangan terkini.

Bekas KPN Abdul Hamid Bador berkata polis mengetahui keberadaan Riduan dan mahu beliau tampil untuk menyelesaikan perkara itu. Hamid berkata polis sedang berusaha melalui perantara, tetapi mendakwa untuk mengekstradisi Riduan adalah rumit.

Ini menyebabkan Indira memfailkan saman terhadap Hamid pada 2020, mendakwa KPN ketika itu dengan sengaja dan cuai mengabaikan mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan, dengan gagal menyiasat atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana.

Pada September tahun ini, polis mengeluarkan satu lagi pengumuman awam untuk mendapatkan maklumat mengenai keberadaan Riduan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Yahaya Hassan berkata Riduan, 53, masih menjadi individu dikehendaki dan mempunyai waran komitmen yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Indira berkata beliau akan meminta peguamnya untuk mengatur pertemuan dengan menteri dalam negeri yang baru dilantik Saifuddin Nasution untuk membincangkan kes itu dan usaha untuk mengesan Prasana.

Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi Arun Doraisamy mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight.

“Ya, kami sedang berusaha mengatur pertemuan dengan menteri dalam negeri yang baharu dan berharap ia dapat dilakukan tidak lama lagi,” katanya.

Di sebalik kemenangan Indira di mahkamah, keputusan yang menjadi pendahulu bagi kes penukaran agama yang serupa, Arun berkata Prasana terus dinafikan penjagaan seorang ibu dan haknya untuk membesar sebagai penganut Hindu.

Sementara itu, Arun berkata “Indira Gandhi Justice Walk” yang terhenti masih dalam rancangan mereka. Beliau bagaimanapun berkata, tarikh baharu belum dapat disahkan buat masa ini.

Indira sepatutnya memulakan berjalan kaki selama 12 hari sejauh 350km pada November 2020 dari Sungai Petani ke Putrajaya, di mana beliau akan menyampaikan surat kepada perdana menteri serta Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, rancangan itu ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. – 7 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen