Switzerland dakwa 2 pegawai PetroSaudi seleweng dana 1MDB


Skandal 1MDB disifatkan oleh pendakwa raya Singapura sebagai kes pengubahan wang haram terbesar pernah disiasat oleh negara itu. – Gambar AFP, 26 April, 2023.

DUA pegawai PetroSaudi International Ltd didakwa di Switzerland atas pertuduhan membantu menyeleweng AS$1.8 bilion (RM8 bilion) daripada 1MDB antara 2009 dan 2011, kata laporan media.

Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkata kedua-duanya merancang dengan ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho untuk menubuhkan usaha sama bagi projek palsu di Turkmenistan untuk menipu dana kekayaan negara Malaysia itu.

Ia berkata memfailkan dakwaan terhadap “dua pengurus PetroSaudi” kerana penipuan, salah urus jenayah dan pengubahan wang haram yang serius.

Kedua-dua tertuduh tidak dinamakan dalam kenyataan OAG.

Bersama Low, kedua-duanya itu “mencadangkan skim pelaburan yang terdiri daripada transaksi kerajaan-kepada-kerajaan” antara Arab Saudi dan Malaysia melalui 1MDB, katanya.

OAG berkata dana 1MDB diperdaya pada 2009 untuk menandatangani perjanjian pelaburan AS$1 bilion yang menyebabkan usaha sama itu berhutang kepada PetroSaudi mencecah AS$700 juta.

Ia berkata AS$700 juta daripada wang itu dipindahkan ke akaun bank Switzerland atas nama syarikat milik Low, yang memindahkan AS$85 juta kepada seorang tertuduh dan seterusnya AS$33 juta kepada seorang lagi, kata kenyataan itu.

Ketiga-tiga mereka seterusnya memujuk lembaga pengarah 1MDB untuk membenarkan “pinjaman Islam” sebanyak AS$830 juta kepada syarikat itu.

“Dana yang dipindahkan juga turut diselewengkan.”

Tertuduh mencuci wang itu melalui akaun bank di Switzerland dan tempat lain serta menggunakan dana itu untuk membeli hartanah di Switzerland dan London, barang kemas dan ekuiti persendirian, kata OAG.

Merentasi dunia dan membabitkan beberapa pegawai tertinggi Malaysia, skandal 1MDB disifatkan oleh pendakwa raya Singapura sebagai “kes pengubahan wang haram terbesar” pernah disiasat oleh negara itu. – AFP, 26 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen