5 beranak maut ditembak dalam rumah terbakar di Switzerland


Mayat lima beranak itu ditemui dalam sebuah rumah yang terbakar di barat Switzerland, Khamis lalu. – Gambar AFP, 12 Mac 2023.

LIMA beranak mati ditembak dalam sebuah rumah yang terbakar di barat Switzerland pada Khamis, kata polis.

Polis wilayah Vaud dalam satu kenyataan semalam berkata seorang lelaki yang juga ketua keluarga itu dipercayai menembak isteri dan tiga anaknya sebelum membunuh diri.

Mayat lima beranak itu – lelaki berusia 45 tahun, wanita (isteri) 40 tahun serta tiga kanak-kanak berusia lima higga 13 tahun – ditemui dalam sebuah rumah yang musnah terbakar.

Hasil bedah siasat mendapati kesemua mangsa maut ditembak.

“Senjata pembunuhan ditemui berhampiran si bapa, yang mungkin melakukan empat lagi pembunuhan sebelum membunuh dirinya sendiri,” kata polis.

Polis berkata setakat ini tiada petunjuk orang lain terlibat dalam kejadian itu. 

Punca kebakaran juga masih dalam siasatan. Bagaimanapun, kesan simbahan petrol telah ditemui di kebanyakan bilik di seluruh rumah keluarga terbabit, menurut polis. – AFP, 12 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen